Kumpulan Nasyid D’Hawa ketika membuat persembahan sempena Perhimpunan Ma’al Hijrah peringkat daerah Ranau 2025.
RANAU:Kumpulan Nasyid D’Hawa dari Kg.Karanaan di sini, berazam akan mempertingkatkan kualiti persembahan selain berusaha mencipta senikata, lirik dan lagu nasyid mereka sebagai persediaan menyertai pertandingan lagu-lagu nasyid diperingkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Pemimpin kumpulan D’Hawa, Nur Aziatul Hakimah Binti Hakim ketika ditemui selepas dijemput membuat persembahan sempena Perhimpunan Ma’al Hijrah peringkat daerah di Dewan Masyarakat Ranau baru-baru ini, berkeyakinan prestasi dan kualiti persembahan mereka dalam bidang lagu-lagu nasyid akan terus unggul menerusi latihan yang mantap bukan sahaja lagu-lagu nasyid dalam bahasa Melayu, malah dalam bahasa Dusun dan bahasa Inggeris.
“Kami seramai 10 orang ahli dalam kumpulan ini, akan terus berusaha untuk memperbanyakkan latihan dan mencipta lagu-lagu nasyid dalam tiga bahasa itu”, jelas Nur Aziatul disokong oleh Ketua Kumpulan D’Hawa, Norazmie Binti Jusilin.
Pada perhimpunan Ma’al Hijrah bertemakan ‘Membangun Umat Madani’ yang dirasmikan Menteri Kewangan Sabah yang juga ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun , kumpulan nasyid D’Hawa telah mempersembahkan dua buah lagu iaitu, ‘Senandung Alfatihah’ dan ‘Assalamualaika’.



