Adham menandatangani plak sebagai tanda kenagan sempena lawatan kerja beliau ke Jabatan Kesihatan Labuan sambil diperhatikan Rozman
LABUAN: Projek Kuarters kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan bernilai RM 27.51 juta yang kini dalam proses permulaan pembinaannya dijangka siap pada tahun 2023.
Projek yang terletak dikawasan tanah seluas 3.24 hektar di Membedai Jalan Tanjung Taras itu mengandungi 36 unit kediaman melibatkan empat unit rumah berkembar kelas D, satu blok pangsapuri lima tingkat dengan 18 unit (Blok F) dan satu blok pangsapuri lima tingkat dengan 16 unit (Blok G).
Majlis pecah tanah projek berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba sempena lawatan kerja beliau ke Labuan, pada Khamis.
Hadir sama menyaksikan majlis itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mewakili komuniti Labuan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Haji Ismail, Timbalan Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abd. Ghani dan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari.
Adham ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan secara berterusan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada kakitangan dengan menyediakan persekitaran kediaman yang lebih kondunsif.
“Kementerian menyedari peranan Jabatan Kesihatan Labuan untuk menangani masalah kesihatan dan para pegawainya yang komited dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada warga Labuan selaras dengan hasrat Jabatan itu untuk menjadikan Labuan sebagai Pulau Sihat disamping merakyatkan perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai”, katanya.
Terdahulu sebelum itu, beliau telah mengadakan lawatan ke unit kecemasan dan trauma serta pusat hemodialisis Hospital Labuan.
Beliau turut meluluskan peruntukan untuk pembelian mesin hemodialisis dan mesin pengimbas bunyi untuk hospital Labuan masing-masing berharga RM70,000 dan RM90,000.
Selain itu, beliau turut menghadiri taklimat mengenai Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) COVID-19 dan kesiapsiagaan pasukan penjagaan kesihatan Labuan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).