KENINGAU: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Toboh Baru terus memperkukuh usaha pembangunan komuniti luar bandar menerusi penganjuran lawatan sambil belajar ke Ladang Tanaman Jagung KRT Progresif Kitou dan kawasan Eko Pelancongan KRT Progresif Tikolod di Tambunan, baru-baru ini.
Lawatan yang disertai 23 peserta itu diketuai Pengerusi KRT Kampung Toboh Baru, Rozie Gitang, sebagai inisiatif meningkatkan kapasiti kepimpinan komuniti selain menimba pengalaman mengenai pelaksanaan projek pertanian dan pelancongan berasaskan komuniti.
Rozie berkata program berkenaan memberi peluang kepada peserta melihat sendiri pelaksanaan projek yang berjaya, sekali gus memahami aspek perancangan, pengurusan serta cabaran dalam menjayakan sesuatu inisiatif pembangunan komuniti.
“Lawatan ini bukan sahaja menambah pengalaman, malah menjadi platform untuk ahli KRT berkongsi idea, menimba ilmu dan mendapatkan inspirasi bagi merancang program pembangunan komuniti yang lebih berkesan.
“Apa yang kami pelajari membuktikan kejayaan sesebuah kampung bergantung kepada kesepakatan, komitmen dan kesediaan masyarakat untuk bergerak seiring dalam menjayakan sesuatu projek,” katanya.
Beliau berkata pengalaman yang diperoleh akan dijadikan panduan bagi merangka projek baharu di Kampung Toboh Baru, khususnya dalam bidang pertanian, pelancongan desa dan pembangunan ekonomi komuniti yang mampu meningkatkan pendapatan penduduk.
Turut menyertai rombongan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Toboh Baru, Evelyn Manggata, bersama pengerusi biro dan ahli jawatankuasa KRT.
Sepanjang lawatan, peserta diberi taklimat mengenai pengurusan Ladang Tanaman Jagung KRT Progresif Kitou yang berjaya menjadikan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi komuniti melalui penglibatan aktif penduduk setempat.
Mereka turut didedahkan kepada kaedah pengurusan tanaman, penyelenggaraan ladang, strategi pemasaran hasil pertanian serta pendekatan kerjasama komuniti yang menyokong kejayaan projek berkenaan.
Rombongan kemudian mengunjungi kawasan Eko Pelancongan KRT Progresif Tikolod bagi meninjau pembangunan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya tempatan, termasuk aspek pengurusan kawasan rekreasi, penyediaan kemudahan kepada pengunjung serta strategi promosi destinasi pelancongan desa.
Peserta menyifatkan lawatan itu membuka perspektif baharu terhadap potensi pembangunan kampung melalui pemanfaatan sumber tempatan secara kreatif dengan sokongan kerjasama masyarakat.
Mereka berpandangan pendekatan yang dipelajari boleh disesuaikan mengikut keperluan Kampung Toboh Baru bagi memperkasa projek pertanian komuniti, pelancongan desa serta program ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk, khususnya golongan belia.
Selain menjadi medium perkongsian ilmu, program itu turut mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli KRT serta membuka peluang jaringan kerjasama dengan komuniti lain yang telah berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
Inisiatif seumpama itu selaras dengan aspirasi memperkasakan peranan KRT sebagai pemangkin pembangunan masyarakat melalui pengukuhan ekonomi komuniti, kesejahteraan sosial dan pembangunan luar bandar yang lebih mampan.
Rozie Gitang (depan, empat dari kiri) bersama ahli rombongan KRT Kampung Toboh Baru bergambar selepas mengadakan lawatan sambil belajar ke Ladang Tanaman Jagung KRT Progresif Kitou dan kawasan Eko Pelancongan KRT Progresif Tikolod di Tambunan.



