GAMBAR ATAS: Ewon dan Fredian meninjau rumah Mesej Tukar Pitas.
PITAS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah membina sebanyak 20 unit Rumah Sejahtera Rakyat (RSR) untuk peserta Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Tukar Pitas dengan kos sebanyak RM1.2 juta.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kerja-kerja pembinaan rumah itu dimulakan pada hujung tahun lalu dan kini sudah menjangkau 90 peratus siap.
“Selepas mengadakan lawatan dan melihat sendiri perumahan di Mesej Tukar, saya berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan dan ia hampir siap sepenuhnya.
“Ini adalah perumahan Mesej yang pertama menggunakan konsep RSR yang diperkenalkan dan direkabentuk oleh KPLB Sabah.
“Setiap rumah mempunyai tiga bilik tidur, sebuah bilik air, tandas, dapur dan beranda atau kaki lima serta warna cat yang tersendiri bagi mengwujudkan identiti tersendiri rumah di bawah Program RSR,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan perumahan Mesej Tukar Pitas, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sebelum ini rumah-rumah peserta Mesej dibina melalui peruntukan yang disalurkan oleh FELDA, bagaimanapun kementerian tidak lagi menerima peruntukan tersebut.
“Walaupun begitu, program Mesej perlu diteruskan, maka saya telah mencadangkan kepada kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas bagi program perumahan rakyat termiskin terutamanya di perkampungan MESEJ,” katanya.
Beliau berkata, selain Mesej Tukar Pitas, pembinaan rumah dengan konsep RSR juga akan dilaksanakan di Mesej Abai Kinabatangan, Mesej Timpangoh Laut Penampang, Mesej Kotud Kota Marudu dan Mesej Mansalu Ranau.
“Saya berharap pembinaan rumah dan penyediaan kemudahann asas lain di kawasan Mesej dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Katanya lagi, secara keseluruhannya KPLB Sabah memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta untuk melaksanakan Program RSR tahun ini di kawasan Ladang Mesej dan Program Kampung Sejahtera.
Turut serta dalam lawatan itu, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembasmian Kemiskinan KPLB Sabah Charles Dabbie, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong Francis Chong dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong Barlus Mangabis.