24 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 29, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

KPDN, Pejabat Kesihatan Laksana Operasi Bersepadu Pantau Harga di Beaufort

OPS BERSEPADU…Pegawai penguat kuasa KPDN bersama PKK Beaufort, melakukan pemeriksaan di salah satu premis di Beaufort pada Selasa

BEAUFORT: Sepasukan tujuh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort pada Selasa melaksanakan operasi bersepadu bagi memantau harga dan bekalan barangan keperluan asas serta pematuhan perundangan berkaitan di sekitar daerah Beaufort.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Beaufort, Julie binti Julhani berkata operasi itu turut menumpukan pemeriksaan terhadap pematuhan peruntukan undang-undang di bawah KPDN, termasuk penandaan harga serta ketepatan alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan.

Beliau berkata pemeriksaan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi memastikan amalan perdagangan yang adil dan telus kepada pengguna.

“Hasil pemeriksaan mendapati majoriti peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan, dengan semua alat timbang dan sukat disahkan serta ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort telah mengeluarkan lapan notis kompaun terhadap beberapa premis atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan 33(1)(a), (b) dan (f) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dalam pada itu, pasukan operasi KPDN turut mengambil tiga tindakan kompaun serta-merta sepanjang operasi berkenaan, melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Julie berkata operasi bersepadu itu bertujuan memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara, selain menggalakkan pematuhan berterusan dalam kalangan peniaga terhadap peraturan harga, kebersihan dan ketepatan sukatan dalam urus niaga harian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN