Penguatkuasa KPDN Labuan ketika melakukan pemeriksaan keatas sebuah premis pengusaha restoran bakeri.
LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dsn Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengeluarkan notis kompaun terhadap sebuah premis bakeri di sini selepas didapati gagal mematuhi peraturan pelebelan produk makanan.
Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata, notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dijalankan bersama pegawai daripada Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Labuan, di sini pada Khamis.
Katanya, notis kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] atas kesalahan gagal mematuhi peraturan penandaan butir-butir barang tersedia bungkus sebagaimana yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga (Pelebelan oleh Pengilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, antara pelebelan yang diwajibkan di bawah perintah tersebut termasuklah nama dan alamat pengilang, pengimport atau pengeluar dan butiran kuantiti bersih barang (berat, isipadu atau bilangan).
“Selain itu, tarikh luput atau tempoh guna sebelum; senarai bahan ramuan (bagi produk makanan); dan harga jualan yang jelas dan mudah dilihat oleh pengguna,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan mematuhi kehendak pelebelan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], di mana jika disabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala bagi individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu sebelum itu, Junaidah berkata seorang pengusaha restoran juga telah dikenakan kompaun atas kesalahan menggunakan alat timbang elektronik yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perniagaan.
“Pengusaha restoran tersebut telah dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta71) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM40, 000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali”, katanya
Junaidah menegaskan KPDN Labuan akan terus melaksanakan pemeriksaan termasuk operasi bersepadu bagi memastikan peniaga mematuhi undang undang bagi melindungi kepentingan pengguna disamping memastikan peniaga sentiasa bertindak adil dan berintegriti.



 
                                    