Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika membuat pemeriksaan keatas premis pakaian yang mempamerkan harga mengelirukan.
LABUAN: Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil tindakan ke atas sebuah premis pakaian yang mempamerkan harga mengelirukan.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, premis berkenaan telah diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] selepas didapati mempamerkan harga barangan yang mengelirukan kepada pelanggan.
Katanya, tindakan tersebut diambil hasil pemeriksaan oleh sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, susulan aduan pengguna yang diterima melalui portal e-aduan rasmi KPDN.
“Hasil pemeriksaan mendapati barangan yang diadu dipamerkan dengan tanda harga RM25.90 pada rak jualan, namun semasa pembayaran dibuat, harga yang tertera pada mesin pengimbas juruwang ialah RM29.90, iaitu perbezaan sebanyak RM4.
“Barangan tersebut telah disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah akta yang sama” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau menjelaskan, sekiranya disabitkan kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM200,000 bagi kesalahan berikutnya.
Bagi kesalahan individu pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga (3) tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan seterusnya, denda boleh mencecah RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan lain, Junaidah berkata pasukan penguatkuasaan terus melaksanakan pemeriksaan rutin di setiap premis runcit dan pasar awam bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan disamping memastikan stok barangan sentiasa mencukupi serta mempunyai lesen perniagaan yang sah.
” KPDN WP Labuan akan terus memperhebat pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis perniagaan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan”, jelasnya.



