Penyerahan cek oleh Lt Kol Nor Hasnizar kepada Pn Hamidah : Simbolik kebajikan dan amanah yang disampaikan kepada waris dengan penuh penghormatan.
SEMPORNA,: Koperasi Tentera hari ini menyerahkan cek insurans bernilai RM274,000 kepada waris Allahyarham Koperal Mohd Haswansir Jul Nasir dalam satu majlis ringkas tetapi penuh harapan di Kampung Sakong Besar, Semporna.
Cek tersebut disampaikan oleh Pegawai Laksana (XO) Rejimen 22 Komando, Lt Kol Nor Hasnizar Nor Rashid, sebagai penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam ucapan ringkas, Lt Kol Nor Hasnizar menegaskan komitmen Rejimen 22 Komando untuk memastikan kebajikan keluarga anggota terus diberi perhatian, lebih-lebih lagi kepada waris yang kehilangan anggota ketika masih menunaikan tanggungjawab kepada negara.
Ibu Allahyarham, Pn Hamidah Ab Atip, menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai bukti keprihatinan tinggi keluarga tentera dan komuniti veteran terhadap keluarganya. Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan moral dan bantuan yang diterima sejak pemergian anaknya.
Majlis berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan Koperasi Tentera, Rejimen 22 Komando dan komuniti Veteran ATM dalam memastikan jasa dan pengorbanan Allahyarham terus dikenang serta kebajikan waris sentiasa terpelihara.
Hadir sama, Mej Biyazid Reduan @ Redzuan, Ketua Kompeni Alpha Bn 2 Rejimen 516 AW merangkap Pengerusi Koperasi Permuafakatan Veteran Komando Malaysia Sabah (KO-MAND); PW 1 Muhamad Hafis Ramli, SSM Skuadron Perahu Khas (SPK); PW 2 (B) Iddris Lahut, Veteran ATM; dan Sjn (B) Mad Sarip Saleh, Setiausaha KO-MAND.



