KOTA KINABALU: Konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia wajar dijadikan amalan setiap masyarakat termasuk pemimpin politik agar keamanan sejagat terus terpelihara.
Menegaskan perkara itu, Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, penyatuan bangsa menerusi konsep Keluarga Malaysia wajar diterangkan sejelas-jelasnya para pemimpin agar rakyat terus di implementasikan dalam hidup bermasyarakat walaupun berbilang bangsa dan anutan agama.
Dalam masa sama, Kong membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyatakan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Kenyataan itu disiarkan portal berita online Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 20 Ogos 2022 bertajuk ‘Hadi Dakwa Bukan Islam, Bukan Bumiputera Jadi Majoriti Perosak Politik, Ekonomi Negara’.
Paparan tajuk berita keluaran FMT pada 20 Ogos 2022 yang memaparkan kenyataan Presiden PAS.
Abdul Hadi dalam paparan berita itu turut menyatakan ramai dikalangan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.
Tegas Kong, kenyataan tidak berasas itu bukan sahaja merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, malah meniupkan sentimen ‘racist’ yang tidak memikirkan perasaan kelompok masyarakat lain khasnya mereka yang bukan beragama Islam dan bukan Bumiputera.
“Hentikan kenyataan tidak matang seumpama itu. Kita berpolitik wajar mematuhi lunas-lunas kemanusiaan yang mengambil kira sensitiviti kelompok masyarakat, individu dan yang penting tidak meniupkan sentimen memecah-belahkan masyarakat di negara kita”. Jelasnya.
Katanya, di negara ini, masyarakat begitu gembira hidup dalam suasana harmoni apatah lagi apabila Perdana Menteri memperkenalkannya konsep Keluarga Malaysia dan kenyataan berbaur perkauman seumpama itu boleh meruntuhkan harapan kerajaan yang ingin melihat keharmonian terus terpelihara.
Jelasnya, Presiden PAS itu perlu keluar dari kepompong budaya pemikiran yang hanya mementingkan diri sendiri dan mengenepikan perasaan pihak lain semata-mata meraih kepentingan politiknya.
“Saya yakin dan percaya, ramai saudara mara dan rakan-rakan yang beragama Islam dan kalangan Bumiputera juga membantah kenyataan itu. Kenapa perlu mengeluarkan kenyataan langang seumpama itu tanpa berfikir panjang. Kita negara bertamadun yang memiliki nilai budaya saling hormat-menghormati”. Katanya.
Justeru, Kong turut mendesak agar pemimpin itu tampil untuk meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera agar isu itu tidak diperdebatkan secara lantang yang seterusnya mengundang pelbagai persepsi liar dikalangan masyarakat.