Christina (tengah) ketika acara gimik Pelancaran Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan. -Foto: Penerangan
Christina (tengah) ketika acara gimik Pelancaran Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan. -Foto: Penerangan
KOTA KINABALU: Kewujudan konflik antara manusia dan gajah harus dilihat sebagai cabaran yang dapat memberi impak positif bukan sekadar beban semata-mata.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Seri Panglima Christina Liew, berkata negeri ini merupakan satu-satunya lokasi di dunia yang menjadi habitat bagi Gajah Borneo, spesies gajah terkecil yang semakin terancam akibat kehilangan habitat disebabkan pertembungan dengan aktiviti manusia.
“Di sebalik konflik antara manusia dan gajah juga akan memberi impak positif kepada komuniti tempatan.
“Kita harus menjadikannya peluang untuk memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui pendekatan seperti pemuliharaan berasaskan komuniti, inisiatif ekopelancongan dan skim pampasan,” kata beliau ketika melancarkan Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan di sini, pada Rabu.
Menurut Christina, pelan pengurusan gajah tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Gajah Borneo yang bertujuan memastikan amalan pengurusan terbaik dapat dilaksanakan di pusat pemeliharaan gajah di Sabah.
“Matlamat kita jelas, kami mahu fasiliti gajah dalam kurungan seperti Bornean Elephant Sanctuary dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai pusat kecemerlangan.
“Fasiliti tersebut bukan hanya berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara bagi gajah yang tidak dapat dilepaskan semula ke hutan, malah menyokong usaha pemulihan, penyelidikan, dan pelancongan beretika,” ujar beliau.
Christina juga menekankan bahawa pelaburan dalam infrastruktur, latihan, serta pengiktirafan kepada penjaga gajah amat penting bagi meningkatkan kebajikan gajah serta menambah nilai kepada industri pelancongan Sabah.
“Melalui pelaksanaan pelan ini, saya berharap kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, serta pihak berkepentingan lain akan membentuk model pemuliharaan yang boleh dijadikan contoh di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Christina turut memaklumkan hingga kini hanya terdapat 1,005 ekor Gajah Borneo dan beliau menggesa penguatkuasaan undang-undang diperkukuhkan untuk melindungi gajah daripada ancaman pemburuan serta pembunuhan haram pada masa hadapan.
“Perangkap jerat yang dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kepada hidupan liar, perlu dihapuskan. Ini memerlukan rondaan yang lebih kerap serta penghapusan perangkap-perangkap haram lain,” katanya.
Tegas beliau, hanya melalui tindakan tegas dan komitmen tidak berbelah bahagi, kerajaan dapat memastikan perlindungan yang sebenar dapat diberikan kepada Gajah Borneo serta hidupan liar lain di Sabah./Penerangan–



