Datuk Willie (kanan) menerima cenderakenangan disampaikan Datuk Jonathan diperhatikan yang lain.
RANAU: KompleksĀ Ranau Highland Coco Cluster (RHCC) yang menelan kos RM12 juta terletak di Kg.Napong di sini, dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin berkata, pembinaan projek itu sejak 2019 walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan termasuklah pandemik Covid-19, namun tetap diteruskan meskipun ada kelewatan sedikit.
“Kompleks ini bakal menjadi mercu tanda dan pusat pentadbiran utama serta Koperasi Koko Sabah Berhad (KKSB) bagi menjalankan aktiviti berkaitan urusniaga biji koko basah dan kering produk berasaskan koko serta pusat agro pelancongan”, jelasnya.
Menurutnya, dijangka kadar permintaan biji koko akan meningkat tinggi dengan adanya kemudahan aktiviti jual-beli koko setempat yang lebih kondusif di Kompleks RHCC itu kelak.
Datuk Willie menjelaskan demikian semasa berucap pada Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia 2022, Sesi Perjumpaan Bersama Peserta Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko (RPHK) Tanaman Baharu 2022 (TB22), di Lohan Rest House Ranau pada Selasa.
Datuk Willie menyifatkan perjumpaan itu sebagai bertepatan dengan objektif untuk mengebahkan dan menyampaikan maklumat terkini mengenai sumbangan dan pencapaian sektor Agrikomoditi koko dalam pembangunan komuniti dan negara.
Beliau juga menyifatkan pembinaan projek Kompleks RHCC itu sebagai komitmen Kerajaan dalam membantu komuniti pekebun kecil koko di Negeri Di Bawah Bayu yang model dan konsep kompleks yang sama seperti yang telah wujud di Kota Samarahan Sarawak yang dikenali sebagai Kompleks Sara Coco Cluster (SCC).
“Saya percaya dan mengharapkan Kompleks RHCC akan memberi nilai tambah serta melengkapkan rantaian ekosistem sokongan terhadap produktiviti sektor huluan dan hiliran industeri koko di Sabah khususnya di daerah Ranau”, tambah Datuk Willie sambil berterima kasih atas kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, (mantan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia) Datuk Jonathan Yasin yang turut ‘Turun Padang’ menghadiri program tersebut.
Turut diadakan sempena majlis itu ialah, penyerahan rasmi permohonan menyertai program RPHK yang program tersebut telah mula diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK Ke-12) yang meliputi tiga skop iaitu, Komponen Projek Tanaman Baharu (TB), Projek Pembinaan Mini Pengeringan Koko dan Aktiviti Pemindahan Teknologi dan Pengembangan.
Tutut berucap pada majlis itu ialah, Datuk Jonathan, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Rahimah Binti Majid, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Dr.Ramle Bin Haji Kasin dan YDP. Persatuan Penanam Koko Ranau, Bidi @ Bideh Bongkok mewakili 116 orang pengusaha tanaman koko daerah Ranau yang hadir.
Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā Ā