ADVERTISEMENTspot_img

Klinik Kesihatan Sepulut: Roboh dan bina semula di tapak asal

NABAWAN: Klinik Kesihatan (KK) Sepulut bakal mendapat nafas baharu apabila ia dimasukkan dalam Projek Naik Taraf, Roboh dan Bina Semula bangunan dengan kos berjumlah RM1 juta.

Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, pembinaan klinik tersebut akan dilaksanakan di tapak asalnya di Kampung Sapulut.

Katanya, projek berkenaan kini berada dalam proses perolehan dan dijangka bermula pada September 2025 sebelum siap pada April 2026.

“Sebelum ini, KK Sepulut telah dipindahkan operasi ke Dewan Kampung Salarom Taka sejak September 2020 kerana bangunan sedia ada tidak selamat akibat pergerakan tanah. Pada ketika itu, perkhidmatan kesihatan dibahagikan antara Kampung Salarom Taka dan Dewan Kampung Sinsingon,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan BNCOM Bahagian Pensiangan, Md Saidi Ahmad Adini yang mendakwa Exco Kesihatan Sabah dan ADUN Nabawan gagal menyelesaikan isu KK Sepulut yang masih beroperasi menggunakan fasiliti sementara.

Md Saidi sebelum ini berkata, walaupun lebih 100 klinik daif di Sabah telah menerima hampir RM44 juta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kerja menaik taraf, namun KK Sepulut terus terpinggir.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN