ADVERTISEMENTspot_img

KLAA Salur Bantuan Pendidikan, Suntik Semangat Pelajar Lanjut Pengajian

KENINGAU: Pengurusan Kolam Legenda Aki-Aki (KLAA) meneruskan komitmennya dalam menyokong pembangunan pendidikan apabila menyalurkan sumbangan kepada pelajar Tingkatan Lima serta bakal penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari Kampung Bingkor Lama dan Kampung Tamui.

Sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan dan kemasukan ke IPT, selain menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

Usaha berkenaan mendapat sambutan positif daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bingkor Lama dan Kampung Tamui yang menyifatkannya sebagai satu inisiatif murni dalam memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Pengerusi JKKK Kampung Bingkor Lama, Nillson Narussin berkata, sumbangan seumpama itu membuktikan masih ramai pihak yang prihatin terhadap masa depan generasi muda dan sanggup memainkan peranan dalam memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pendidikan.

Menurut beliau, bantuan yang diberikan bukan sekadar mengurangkan beban kewangan, malah menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus berusaha sehingga berjaya merealisasikan cita-cita mereka.

“Apabila masyarakat bersama-sama menyokong usaha pendidikan, ia memberi keyakinan kepada anak-anak bahawa mereka tidak bersendirian dalam mengejar impian. Kejayaan mereka kelak bukan sahaja membanggakan keluarga, malah turut mengharumkan nama kampung,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan KLAA atas keprihatinan yang ditunjukkan menerusi sumbangan tersebut, sambil berharap lebih banyak organisasi dan syarikat tampil melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada pelajar.

Katanya, kerjasama berterusan antara pihak swasta, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan lebih ramai anak muda, terutama di kawasan luar bandar, berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN