Arthur (tiga dari kanan)dan Paul (kanan)bersama dengan staf BSN.
KENINGAU:Penantian penduduk di Daerah Kecil Sook dan kawasan sekitarnya bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan berakhir apabila kiosk ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) beroperasi sepenuhnya di sini kelmarin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata ini merupakan hari yang bersejarah bagi penduduk di Daerah Kecil Sook.
“Berdasarkan kepada populasi penduduk dan pembangunan yang semakin pesat di Daerah Kecil ini telah mendorong kepada wujudnya keperluan perkhidmatan perbankan di kawasan ini”
“Sebelum ini penduduk terpaksa pergi ke Keningau untuk melakukan urusan perbankan. Namun kini, penduduk di Daerah Kecil Sook, dan Nabawan tidak perlu lagi pergi jauh. Ini sesuatu yang sudah dinanti-nantikan selama ini oleh penduduk” jelasnya.
Tambahnya, bagi penduduk di kawasan Pedalaman yang mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sabah Prihatin dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, mereka tidak perlu lagi ke Keningau untuk mendapatkan akses perbankan bagi mengeluarkan wang bantuan.
“Ini juga akan dapat mengurangkan kesesakan di BSN Keningau dan memudahkan pengeluaran wang oleh penduduk. Dengan adanya mesin ATM ini, ianya akan dapat menjana ekonomi setempat dengan peningkatan aliran tunai” katanya.
Arthur menunjukkan mesin Kiosk BSN di Sook
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata Bank Rakyat juga telah memberikan persetujuan untuk meletakkan mesin ATM mereka di Petron Pekan Sook. Kini kerja-kerja pembinaan kiosk ATM Bank Rakyat sedang giat dilaksanakan dan dijangka dapat beroperasi pada tahun ini.
Katanya lagi, sebagai perancangan untuk jangka masa panjang, sekiranya transaksi kewangan di Pekan Kecil Sook semakin meningkat dan menunjukkan bahawa terdapat keperluan bagi mewujudkan cawangan bank, Kerajaan akan berusaha untuk melaksanakannya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul F. Isidore ketika ditemui pemberita berkata dengan adanya mesin ATM ini keperluan asas perbankan dapat dilakukan oleh penduduk tanpa perlu ke Keningau.
“Penduduk juga dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kemudahan yang telah disediakan ini dan sentiasa mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal apabila melakukan transaksi”.