Abidin (tengah) dan lain-lain menunjukkan isyarat bagus untuk sambutan Kaamatan Kg Ponulangon
RANAU: Ratusan penduduk di sini menarik nafas lega selepas Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mengeluarkan dua kampung di sini, iaitu Kg Ponulangon dan Kg Walou daripada kawasan Hutan Simpan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata perkara itu diputuskan ekoran beberapa perjumpaan dengan Pengarah Hutan dan juga kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Hj Noor sejak akhir- akhir ini.
“Sukacita saya umumkan di sini bahawa pada dasarnya Ketua Menteri Sabah telah memberi kelulusan Kawasan Kg Ponulangon dan Kg Walou telah dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan.
“Ini bermaksud penduduk kampung boleh memohon pemilikan tanah dan tanah boleh diusahakan untuk bercucuk tanam, membina rumah dan apa sahaja, tanpa gangguan daripada Jabatan Hutan.
“Walau bagaimanapun kelulusan ini akan dibawa ke Persidangan DUN untuk disahkan,” kata beliau yang juga merupakan ADUN Paginatan.
Tambah beliau, sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Hutan akan datang ke lapangan untuk mengenalpasti berapa keluasan sebebar yang akan dikeluarkan daripada Hutan Simpan
“Kita bersyukur kerana dengan adanya hubungan yang baik Wakil Rakyat kamu dengan kakitangan kerajaan, urusan tersebut dapat dipermudahkan.
“Selaku Wakil Rakyat di sini, saya akan terus berusaha merealisasikan impian penduduk kampung seperti juga usaha kita merealisasikan pembinaan jalanraya yang begitu cantik daripada Kg Walou, Kg Ponulangon sehingga lah ke Kg Tinanom.
“Bagi keperluan Mini Dewan Kg Ponulangon kita telah mengemukakan permohonan pembinaan Mini Dewan kepada Pejabat Daerah pada tahun yang lepas.
“Saya akan arahkan UPPM merujuk kembali permohonan tersebut. Mudah-mudahan kita akan dapat menyelesaikan masalah ini pada tahun ini juga,” kata beliau.
Abidin berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kg Ponulangon yang diadakan di Balai Raya Kg Ponulangon baru-baru ini.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin serta penduduk Kg Ponulangon kerana berjaya menganjurkan Pesta Kaamatan Peringkat kampung mereka.
“Tema Kaamatan Peringkat Negeri adalah ‘Kaamatan Untuk Semua’ kerana kini Kaamatan diraikan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan perbezaan agama.
“Bagi masyarakat KDMR, Kaamatan diraikan kerana kesyukuran kita mendapat tuaian yang baik. Semua ini adalah anugerah daripada Tuhan,” katanya.
Menurut beliau, Perayaan Kaamatan juga harus diadakan pada setiap tahun kerana ini adalah budaya kaum tempatan yang harus dipelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang
Selain daripada itu, katanya, Kaamatan dapat menyatupadukan rakyat dan masa Kaamatanlah di mana masyarakat ada masa untuk bertemu dengan saudara mara, sahabat handai yang jarang mereka jumpa.
Dalam pada itu, Abidin menambah bahawa kerajaan telah menghidupkan kembali Lembaga Padi dan Beras Sabah bertujuan untuk menaikan kadar pengeluaran padi tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada beras impot yang masih dalam tahap 72%.
Justeru beliau menyeru kepada penduduk Kg Ponulangon untuk terus memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN17 nanti demi kesinambungan program pembangunan kerajaan GRS melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Bagi pihak kita, kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan akan terus buat kerja kerana masih banyak perkara yang belum selesai
“Kita yakin dengan sokongan padu penduduk Kg Ponulangon cuma kita agak sedih kerana ada rakan sesama kita dalam GRS menaja calon bebas diperkenalkan ke sana sini untuk melawan kita.
“Kerja seperti ini hanya merosakkan perpaduan kita dalam Gabungan Rakyat Sabah. Kita akan tolak orang-orang seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK, Josey Linggonon mengucapkan selamat datang kepada YB Datuk dan rombongannya ke Kg Ponulangon sempena Perayaan Kaamatan Peringkat Kg Ponulangon.
“Kami merakamkan jutaan terima kepada YB Datuk Abidin Madingkir selaku Wakil Rakyat N38 Paginatan kerana sudi datang ke Kg Ponulangon walaupun kampung kami ini agak terpencil di antara kampung-kampung di DUN Paginatan.
“Untuk rekod ini adalah kali yang ke lima YB Datuk berkunjung ke kampung Ponulangon. Ini menunjukkan Datuk tidak pernah melupakan rakyat di sini.
“Kami memohon supaya YB Datuk melihat keperluan mendesak penduduk Kg Ponulangon iaitu sebuah Mini Dewan untuk menggantikan Balai Raya yang amat usang. Balai Raya ini mungkin tidak dapat digunakan dalam satu dua tahun lagi,” katanya.
Tambah Josey, Kg. Ponulangon pada tahun ini mengambil Tema ‘Kaamatan Timpohon do Koburuon’ iaitu berlainan dengan Tema Kaamatan Peringkat Negeri ‘Kaamatan Untuk Semua’.
Tema Kaamatan Kg Ponulangon memberi semangat kepada penduduk kampung supaya terus berusaha menambahkan keberhasilan apa sahaja bidang pertanian yang diceburi.
WKAN Pamin Gudatin pula bertekad untuk pertahankan Datuk Abidin sebagai Wakil Rakyat kita yang begitu prihatin dengan pemaslahan rakyat.
“Semoga beliau akan terus menjadi Wakil Rakyat kita dengan sokongan padu rakyat dan penduduk Kg. Ponulangon,” ujar beliau.
Turut hadir, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Dualis Porodtong, KAN Sawalin Zakaria, KAN Kapilin Hj Surop, Pemaju Mukim Paus, Jasni Maston dan para pemimpin setempat.



