BANGGA.. Gadis Dusun Ranau bangga berpakaian tradisional suku kaum mereka.
RANAU: Keunikan pakaian tradisi suku kaum Kadazan, Dusun, Murut (KDM) perlu dihayati, dipelajari dan dipelihara serta diwarisi generasi muda suku kaum berkenaan agar tidak hilang ditelan zaman.
Pengerusi Pencarian calon Unduk Ngadau (UN) daerah Ranau, Ivy J.Suimin berkata, adalah menjadi satu kewajiban serta tanggungjawab generasi muda KDM untuk memelihara keunikan pakaian tradisional suku kaum mereka agar tidak hilang di telan zaman berikutan kemunculan pelbagai keunikan pakaian suku kaum lain diperingkat global.
Menurut Ivy, generasi muda KDM bukan sahaja bijak mengenakan pakaian tradisi malah boleh menguasai kaedah-kaedah dari segi pembikinan terutama teknik penyulaman yang biasa digunakan datuk, nenek dan moyang mereka menerusi sulaman menggunakan jari, kaki dan tangan untuk menghasilkan sulaman asli yang kemas, menarik dan cantik bernilai tinggi setanding kaedah menggunakan mesin.
“Dengan sebab itu generasi muda perlu memelihara keaslian penghasilkan pakaian tradisi mereka secara turun temurun”, jelas Ivy ketika ditemui sejurus mempengerusikan satu mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan calon Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat dearah bagi tahun 2023 di Bilik Urusetia Pejabat daerah Ranau baru-baru ini.
Ivy menjelaskan pakaian tradisional suku kaum KDM, biasanya kini dipakai bukan sahaja semasa sambutan Pesta Kaamatan di peringkat Desa, Daerah, Negeri dan Kebangsaan malah di pakai oleh orang ramai menyambut orang kenamaan sempena Pesta Kaamatan malah dipakai oleh kedua mempelai (pengantin) yang melangsungkan majlis perkahwinan.
“Pakaian tradisi suku kaum KDM bertambah seri apabila dipakai oleh para penari ‘Tarian Tradisional’ seperti Sumazau dalam suatu upacara keramaian atau menyambut para pelancong dari dalam dan luar negeri”, tambah Ivy.
              Â