ADVERTISEMENTspot_img

Ketum – enam lelaki tempatan dicekup

Air dan serbuk ketum yang dirampas dalam operasi berkenaan


RANAU: Pihak polis di sini berjaya menangkap seramai enam orang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual air ketum di sini baru-baru ini.


Tangkapan yang dibuat oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau pada 3 Jun lalu itu dibuat dalam empat serbuan berasingan di tiga buah kampung di sini.


Dalam serbuan yang dijalankan pada pada 2 hingga 5 petang pihak polis merampas 26 botol plastik berisi air ketum dan 15 peket berisi serbuk ketum.


Ketua Polis Daerah Ranau Superintendan Mursalin Mahmud berkata, dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pondok di Kg Kimolohing Ranau, tiga orang saspek ditahan dan turut dirampas ialah 23 botol plastik berisi air ketum.


Dalam satu lagi serbuan, katanya, tangkapan seorang lelaki bersama satu botol disyaki berisi air ketum di hadapan sebuah rumah di Kampung Lohan Ulu telah dibuat.


Sejurus kemudian, katanya, serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Lohan Skim 1, di mana polis berjaya menahan seorang lelaki dan merampas dua botol plastik berisi air ketum.
Menurutnya, satu lagi serbuan dilakukan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kg Lohan Skim 1 di mana seorang lelaki bersama 15 peket plastik disyaki berisi serbuk ketum dan dua botol plastik berisi air ketum ditangkap.


“Semua tangkapan membabitkan warga tempatan yang berusia 20 hingga 35 tahun dan kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan lanjut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Sehubungan dengan itu, Mursalin mengingatkan kepada setiap individu yang terbabit memproses, menjual, membeli dan menggunakan ketum untuk segera berhenti daripada menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.


“Polis akan terus mempergiatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa demi kesejahteraan daerah ini,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN