KONG….isu air merupakan suatu ‘duri dalam daging’ yang telah sekian lama berlarutan membelenggu rakyat Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Aikru (StarSabah), Kong Soon Choi menyokong cadangan yang diketengahkan supaya rombakan dibuat Dalam Jabatan Air Negeri Sabah.
Menurutnya, langkah tersebut adalah perlu untuk memperbetulkan urus tadbir jabatan kearah lebih efisyen dan mampu mencapai kualiti kerja yang sesuai dengan keperluan semasa.
“Misi Sabah Maju Jaya (SMJ) perlu diserlahkan menerusi sistem penyampaian berkualiti tinggi di kalangan kakitangan awam kerajaan negeri agar rakyat tidak mencemuh slogan berkenaan,” tegas Kong.
Tambahnya lagi, isu air merupakan suatu ‘duri dalam daging’ yang telah sekian lama berlarutan membelenggu rakyat Sabah namun tiada penyelesaian tuntas dapat dilihat hingga ke hari ini.
“Justeru, adalah tepat dan wajar untuk mengubah sistem pentadbiran secepat mungkin kepada yang lebih berkesan bagi mencari solusi yang terbaik demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Kong yang juga merupakan Pengerusi Ko Nelayan Sabah, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkenaan hal itu, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang hari Isnin.
Beliau menjelaskan bahawa cadangan agar rombakan mesti merangkumi kakitangan dari sektor kejuruteraan dan pentadbiran tertinggi agar di isi oleh mereka atau para pegawai yang benar-benar berkelayakan dalam bidang pengairan.
“Rombakan diharap dapat mengurangkan karenah biokrasi yang mana selama ini kebanyakan pengguna diberikan jawapan kurang munasabah berhubung isu gangguan air di Sabah,” jelas beliau.
Pada Isnin, portal Free Malaysia Today (FMT) memaparkan laporan Menteri Sabah beri bayangan rombakan untuk tangani masalah air yang mana figura utama memaparkan Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun dan Menteri Kerja Raya Sabah Shahelmy Yahya.