Gambar : Abidin (tengah) bersama Majus (Kanan), Jumain (kiri) dan sebahagian kanak-kanak
RANAU: Ibu bapa dinasihatkan agar mengubah sikap dan mentaliti bagi menangkis persepsi negatif terhadap penerimaan vaksin COVID-19. Ia bagi mengelak kekeliruan yang mampu merencatkan usaha berterusan pelbagai pihak terutama sekali barisan depan ‘frontliner’ dalam membendung pandemik.
Berucap pada Majlis Pelaksanaan Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di SK. Kinapaulidan baru-baru ini, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Abidin Madingkir berkata, ibu bapa perlu memahami konsep ‘kita jaga kita’ secara menyeluruh bagi memastikan diri dan keluarga terhindar daripada jangkitan virus berkenaan.
Beliau berkata, dengan mengambil contoh dirinya sendiri yang telah pun mengambil dos penggalak beberapa minggu yang lalu, sehingga kini beliau sihat dan tiada kesan negatif yang memudaratkan kesihatan dirinya. Ia menunjukkan bukti-bukti klinikal sebelum ini yang mengesahkan bahawa vaksin COVID-19 tidak memberi kesan sampingan yang buruk kepada penerima adalah benar.
Justeru itu, ibu bapa perlu yakin dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan jangan sesekali terpengaruh dengan persepsi negatif yang disebarkan oleh pihak tertentu khususnya melalui media sosial.
Abidin berkata, pengaruh viral di media sosial yang mengatakan kemungkinan adanya kesan sampingan menyebabkan ada di kalangan ibu bapa bimbang untuk mendaftarkan anak mereka untuk divaksin. Beliau berkata suntikan vaksin ke atas kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun yang dimulakan oleh KKM pada bulan Februari lalu adalah mengikut garis panduan yang dibenarkan.
“Sekarang adalah permulaan vaksin untuk kanak-kanak. Saya menyeru kepada semua ibu bapa supaya dapat membawa anak-anak untuk divaksin. Anak-anak kita hanya menunggu arahan. Peranan kita sebagai ibu bapa ialah memberikan semangat dan motivasi serta membawa mereka ke pusat vaksinasi,” katanya.
Gambar : Adik Mohd. Khairul Irfansyahmie Kefli, 11 tahun (murid pertama mendaftar)
Abidin bagaimanapun memuji semangat yang ditunjukkan oleh ibu bapa pada program itu kerana ramai yang datang membawa anak untuk divaksin. Beliau menyifatkan mereka mempunyai kesedaran dan kefahaman yang tinggi terhadap kepentingan vaksin kepada anak-anak.
Dalam pada itu Pegawai Pendidikan Daerah, Majus Munsing ketika ditemui wakil media berkata, beliau berterimakasih kepada Datuk Abidin bersama Pegawai Daerah, Jumain Abdul Ghani kerana kehadiran mereka ternyata telah mempengaruhi ramai ibu bapa hadir ke program tersebut. Beliau mengharapkan akan ada lagi pemimpin yang dapat bersama bagi menyokong program vaksinasi PICkids akan datang.
Sementara itu salah seorang datuk, Saimun Jaimun semasa ditemui berkata, kerana bimbang dengan pergaulan cucunya Richeal Abdullah yang berumur 5 tahun di sekolah Tabika KEMAS Ranau menyebabkan dia telah membawa cucunya pada hari itu untuk divaksin.
Turut sama pada program itu ialah Hishamudin Harun (UPPM), Dr. Fiona Vincent Bizini (Pegawai Kesihatan), Florensia Padasian (ADO) dan Alice Philip Jumin (Guru Besar).