Robert menerima cenderakenangan daripada pengerusi penganjur Haji Musa Numan.
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik menyarankan kepada penduduk kampung untuk mengetepikan perbezaan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan pembangunan kampung.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor berkata, kesatuan, kehormanian dan kerjasama erat antara penduduk kampung memudahkan pelbagai aktiviti dan pembangunan kampung dilaksanakan seterusnya mempercepatkan lagi kemajuan kampung.
Oleh itu katanya, penglibatan semua pihak tidak mengira perbezaan agama, bangsa, pangkat dan fahaman politik mampu mempercepatkan lagi pembangunan kampung, melaksanakan aktiviti dengan cemerlang dan menyelesaikan masalah penduduk kampung.
“Untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utama ialah kerjasama dan bersatu tidak kira pangkat, bangsa, agama dan fahaman politik.
“Komitmen yang padu semua pihak tidak mengira perbezaan akan dapat menjadi pengerak bagi mempercepatkan lagi kejayaan dalam apa juga program yang dirancang di dalam kawasan kampung khususnya dan negeri ini amnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Mesra Kemuncak Aidilfitri Kampung Kota Ayangan di Dewan Kampung Kota Ayangan Keningau, pada Selasa.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan kepada kampung-kampung khususnya dalam kawasan DUN Bingkor mencontohi kerjasama erat komuniti Kampung Kota Ayangan dalam menjayakan pelbagai program dan perancangan serta pelaksanaan pembangunan kampung.
Pada majlis itu sebanyak 13 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan dan blok-blok kampung bersatu mengadakan pelbagai aktiviti sejak Ramadan lagi hingga Syawal menjadikan majlis ini sebagai kemuncaknya.