ADVERTISEMENTspot_img

Kestabilan politik di bawah GRS perlu ditakrifkan dengan tegas: Robert

Datuk Robert Tawik

KENINGAU: Kestabilan politik di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini perlu ditakrifkan dengan tegas bagi memastikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) terus dicapai mengikut perancangan.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah), Datuk Robert Tawik berkata, menerima hasrat mana-mana parti untuk berkerjasama dengan GRS buat masa ini perlu diperhalusi untuk mengelak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

“Secara peribadi, saya berterima kasih atas hasrat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Bersatu yang menunjuk minat dengan GRS. Namun, dalam tempoh ini kestabilan politik di negeri Sabah dalam pentadbiran kerajaan GRS adalah prinsip teguh demi pembangunan rakyat Sabah”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Ahad bagi mengulas Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyuarakan pandangan mengenai kerjasama dengan GRS.

Katanya, acuan untuk kelancaran pembangunan negeri Sabah adalah kestabilan politik harus dipertahankan agar sistem pentadbiran kerajaan negeri tidak perlu banyak memikirkan mengenai soal perkongsian kuasa politik khasnya parti luar yang kurang menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, tidak lama lagi Sabah bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang memerlukan komitmen GRS untuk menjaga sentimen politik setempat sesuai dengan denyut nadi rakyat Sabah.

“Fokus ketika ini terarah kepada mempastikan kehendak rakyat akar umbi yang ingin melihat dasar pentadbiran yang kukuh untuk menikmati pembangunan berterusan. Soal berkerjasama dalam politik itu perkara kedua kerana komponen parti sedia ada sudah cukup untuk mengharmonikan kestabilan kerajaan GRS”. Jelasnya.

Dalam pada itu, Robert turut mengakui kerjasama GRS dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah mampu untuk melicinkan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini tanpa sebarang masalah.

“Kerjasama erat antara GRS dan PH Sabah nampaknya tidak menimbulkan isu-isu yang boleh menggangu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri. Keselesaan itu membuatkan kita sepakat dalam semua perancangan menuju misi SMJ demi kebaikan rakyat Sabah”. Katanya.

Sabtu lepas, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam berkata, partinya terbuka menjalin kerjasama dengan semua parti di Sabah termasuk GRS. Manakala pada Ahad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata partinya akan meneliti kemungkinan kerjasama dengan GRS pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN