25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Oktober 28, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kesihatan Persekitaran Tonggak Kesejahteraan Rakyat: Jonathan

Benedict (berdiri tengah), Dr Sandra dan lain-lain sempena perasmian Sambutan WEHD dan ANMS tersebut

RANAU: Faktor kesihatan persekitaran memainkan peranan yang amat penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat, kata Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Bin Yasin.

Menurut beliau, alam sekitar yang bersih, air yang selamat, pengurusan sisa yang teratur dan kawalan penyakit bawaan vektor- semuanya memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup dan kesihatan masyarakat.

“Tema sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia tahun ini “Udara Bersih, Rakyat Sihat” amat bertepatan dengan usaha kita menuju ke arah komuniti yang sihat dan lestari,” kata beliau.

Jonathan yang diwakili Ketua Pegawai Pewrhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (WEHD) 2025 dan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) – Sabah Maju Jaya (SMJ) Peringkat Parlimen P.179 Ranau Tahun 2025 di sini baru-baru ini.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Ranau atas inisiatif penganjuran program WEHD 2025 yang digabungkan bersama Program Jelajah ANMS di daerah Ranau yang penuh bermakna itu.

Tambah beliau, penganjuran Jelajah ANMS ini adalah kesinambungan usaha Kementerian Kesihatan untuk memperkasa masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam penjagaan kesihatan diri, keluarga dan komuniti.

“Pendekatan ANMS menekankan empat teras utama – pemperkasaan rakyat, sokongan persekitaran, kerjasama pelbagai pihak dan kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Usaha seperti gotong-royong, pemeriksaan kesihatan, aktiviti senaman komuniti dan kempen kebersihan bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kesihatan awam.

“Saya ingin menyeru semua pihak, daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, NGO hingga ke masyarakat setempat, agar terus berganding bahu dalam memastikan persekitaran kekal bersih, selamat dan sihat,” katanya.

Jonathan berkata, kesihatan bukan tanggungjawab individu semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh komuniti.

Justeru beliau berharap agar semangat yang ditunjukkan dalam program itu diteruskan melalui tindakan nyata di tempat kerja, di rumah dan di kawasan kejiranan masing-masing.

“Semoga program ini menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran kesihatan, mempererat hubungan komuniti, dan menginspirasikan tindakan positif demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Program yang diadakan berhampiran Pejabat Kesihatan Ranau di Kiaburi tersebut melibatkan aktiviti seperti senamrobik, Larian WEHD 2025, pengagihan goodies, pameran kesihatan, fun games, free market, One Malaysia clean-up Pekan Kiaburi, cabutan tiket bertuah, pertandingan Aerodance, dan penyampaian hadiah The Biggest Loser.

Program The Biggest Loser merupakan inisiatif anjuran Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Pejabat Kesihatan Daerah Ranau. Program ini melibatkan penyertaan warga KKM di PKD Ranau dan telah dinilai sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2025.

Turut hadir, Pengerusi Penganjur, Dr Sandra Lydia Lucius, Penolong Pegawai Daerah Ranau, Farihah Mohd Jamian, wakil Pegawai Eksekutif MDR, Ellyscia Jopirin, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar JKNS, Dr Johari Bin Awang Besar, Pegawai Kesihatan Daerah Ranau, Dr. Wong Yoke Kong, wakil Pengarah Hospital Ranau, Mohammad Fariz Aliasin, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Prawarta) dan Pegawai Pentadbir Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Dr. Nor Faizah Binti Ismail, dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN