25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerosakan jalan raya Jalan Paitan-Kinabungan akibat tanah runtuh akan dibaiki.

James meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di KM 127.5 Jalan Paitan-Kinabungan.

SUGUT: Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib akan mempastikan kerosakan jalan raya di Kilometer 127.5 Jalan Paitan-Kinabungan yang mengalami kerosakan teruk akibat kejadian tanah runtuh pada selasa akan segera diperbaiki.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut menegaskan, beliau telahpun mengarahkan agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Beluran dan Syarikat Konsesi Globinaco Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara jalanraya tersebut segera mengambil tindakan untuk meminimumkan kerosakan sebelum kerja-kerja pemulihan sepenuhnya dijalankan untuk mengurangkan kesulitan pengguna.

“Saya bersama-sama Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Beluran, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.48 Sugut dan wakil pengurus syarikat konsesi telah melakukan lawatan mengejut sejurus menerima aduan mengenai kejadian tanah runtuh itu. Kerosakannya agak serius dan sudah tentu membahayakan keselamatan pengguna. JKR dan pihak konsesi saya arahkan serta merta untuk mengambil tindakan sewajarnya”, katanya ketika ditemui dilokasi kejadian tanah runtuh tersebut.

Katanya lagi, sebagai langkah awal, beliau telah menyediakan sebuah mesin jengkaut miliknya sendiri untuk membina sebuah laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan Sapi Nangoh ke Pitas di Kota Marudu.

“Kerja-kerja membina laluan alternatif itu akan berpandukan sepenuhnya nasihat daripada pihak JKR dan Syarikat Konsesi bagi menilai kesesuaian pembinaan jalan alternatif kerana ketika ini cuaca tidak menentu dan kaedaan tanah agak lembab dan becak”, jelasnya.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada jam 1040 malam selasa melibatkan kerosakan jalanraya berdekatan Loji Air Daerah Paitan. Dalam kejadian itu, sebuah bangunan kuarters empat unit menempatkan kakitangan Jabatan Air Daerah Paitan turut mengalami kerosakan akibat mendapan tanah.
Namun demikian, bangunan berkenaan tidak dihuni oleh kakitangan jabatan itu kerana kebanyakannya mempunyai kediaman sendiri disekitar kawasan perkampungan.

Setakat ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Beluran telahpun menutup serta-merta laluan tersebut bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini. Papan tanda amaran turut diletakkan bagi memberi isyarat kepada pengguna agar tidak melalui laluan tersebut.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Kenny Puping, Jurutera JKR Daerah Beluran, Jalil Atang, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.48 Sugut dan Chu Chee Cheng, wakil Syarikat Konsesi Globinaco Sdn Bhd.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN