Ghai disambut oleh pemimpin-pemimpin masyarakat
.
NABAWAN:Kerjaan sentiasa prihatin dan berusaha untuk membela serta menjaga kebajikan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, ini bersesuaian dengan halatuju Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, setelah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri, banyak perkara yang sudah dilaksanakan demi pembangunan rakyat Sabah.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS)berkata, pelbagai agenda yang difikir sesuai telah dirancang dan akan dilaksakan secara berfasa.
“Oleh itu marilah bersama menyokong dan mendokong usaha-usaha murni kerajaan, elakkan dan hindari apa-apa perbalahan mahupun persengkataan demi manfaat kemajuan dan kesejahteraan dalam segala aspek pembangunan untuk daerah ini” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan 2022 yang berlangsung di dewan terbuka Majlis Daerah di sini pada Sabtu.
Sambutan Pesta Kaamatan itu dirasmikan oleh Menteri Belia Dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.
Pada masa sama Ghani mengajak masyarakat di daerah ini supaya meningkatkan daya usaha untuk memajukan diri dalam bidang pertanian bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Beliau berkata, usaha ke arah itu sejajar dengan kebiasaan masyarakat di Pedalaman mengerjakan aktiviti pertanian.
Sementara itu, beliau berkata, usaha menjaga dan menghargai keaslian budaya serta alam semulajadi di daerah ini perlu ditingkatkan lagi sesuai dengan tema sambutan Kaamatan tahun ini, “Menjiwai Alam Semulajadi”.

Ghani (kiri)bersama Ellron (tengah)dan Senator Bobbey Suan menikmati jamuan makanan tradisi pada sambutan Pesta Kaamatan itu.
“Dalam menjiwai alam semulajadi suka saya untuk mengupas mengenai pembangunan ekonomi dari aspek aktiviti pertanian dan sosial yang menjadi kiblat kita dalam menggerakkan pembangunan daerah Nabawan pada masa ini.
“Sememangnya daerah ini dihuni oleh majoriti penduduk asal daripada suku kaum Murut, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk setiap individu menanamkan sikap yang sentiasa membela, mempertahankan dan menyesuaikan peredaran zaman dngan budaya kita tanpa menghakiskan keasliannya” katanya.
Sebagai contoh katanya, dari segi sikap saling tolong menolong, bekerjasama, pengalaman pertuturan bahasa ibunda terutama dalam urusan harian, mempromosi makanan tradisi, merancakkan bidang kraftangan, pertanian dan sebagainya perlu dikekalkan.
Sehubungan dengan ini Ghani berkata, dalam hal ini pemimpin-pemimpin masyarakat perlu proaktif untuk memainkan peranan masing-masing.