26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Sabah meningkatkan tahap siapsiaga dalam mengekang penularan rabies

Gambar- Dr. Jeffrey…..larangan import kucing dan anjing masih berkuatkuasa.

Oleh:Marutin Ansiung

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meningkatkan tahap siapsiaga dalam mengekang rabies daripada memasuki wilayah ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Ini merupakan respon setelah Jawatankuasa Penanggulangan Bencana Sarawak mengisytiharkan Lawas sebagai daerah yang terjangkit penyakit rabies pada 10 Jun susulan penemuan virus tersebut dikalangan anjing tidak bertuan di Bazaar Lawas.

Bazaar tersebut hanya berjarak kira-kira 11 kilometer dari Pos Kawalan Imigresen-Kuarantin-Keselamatan (IQS) Merapok-Sindumin.

Kitingan memaklumkan bahawa Sabah telah membuat persediaan susulan pengisythiran penyakit Rabies yang pertama dibuat di Serian, Sarawak, pada 1 Julai 2017.

“Ini termasuklah latihan simulasi, kempen kesedaran dan vaksinasi anjing, kucing dan haiwan pembawa rabies (HPR) lain di semua pintu masuk ke Sabah.

“Sejak wabak rabies di Sarawak, Sabah juga melarang import kucing dan anjing, dan larangan itu masih berkuatkuasa.

“Pada tahun 2020, 80 peratus HPR yang mempunyai pemilik di sempadan wilayah Sabah telah berjaya divaksinasi, jauh melebihi tahap 70 peratus yang disasarkan. Selain itu, di luar kawasan sempadan, vaksin rabies ini juga boleh didapati  di kllinik-klinik veterinar swasta, ”katanya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memberikan vaksin secara percuma kepada semua pemilik anjing dan kucing di Sipitang melalui pejabatnya di daerah tersebut. Tujuannya adalah untuk meningkatkan imuniti haiwan tersebut, kerana rabies dapat dicegah melalui vaksinasi yang teratur.

Peningkatan imunisasi pada haiwan peliharaan juga akan turut mencegah jangkitan di kalangan manusia.

Kitingan, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, berkata inisiatif vaksinasi percuma akan diperluas ke daerah berdekatan seperti Tenom dan Beaufort.

“Kempen kesedaran akan dipertingkatkan, terutama kepada penduduk di sempadan negeri dan negara bagi memastikan masyarakat sedar akan bahaya penyakit ini dan memainkan peranan aktif dalam mencegahnya memasuki Sabah.

“Kempen kesedaran akan berjalan serentak dengan program Covid-19 Outreach di semua daerah yang disasarkan, dengan kerjasama daripada agensi lain seperti pejabat daerah, pejabat penerangan daerah dan pejabat kesihatan kawasan.”

Kempen kawalan populasi HPR terbiar yang bertujuan mencapai status ‘Zero Strays’ akan dilaksanakan, dengan fokus pada daerah yang bersempadan. Ini bagi memastikan masyarakat tidak terdedah kepada ancaman gigitan yang boleh membawa penyakit rabies sekiranya HPR terbiar tersebut telah dijangkiti oleh anjing berpenyakit dari Sarawak.

Disamping itu, persampelan untuk pengesanan virus pada HPR liar akan dipertingkatkan bagi memastikan tindakan pencegahan dapat diambil dengan berkesan.

Mengenai perkembangan ASF, Kitingan memaklumkan bahawa Keningau telah menjadi daerah terbaru yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF. Ini susulan penemuan virus tersebut di kalangan babi kampung di Kg Bandukan Lama, di mana 24 ekor babi dilaporkan mati akibat virus tersebut.

“Siasatan awal menunjukkan terdapat kebarangkalian penyakit ASF di kampung tersebut dibawa oleh babi hutan. Sebelum kematian babi kampung itu, DVS telah menerima laporan kematian babi hutan di hutan berhampiran kampung tersebut.

“Keningau memiliki sekitar 1.000 ekor babi, dan semuanya berisiko terkena jangkitan kerana biosekuriti ladang/premis yang tidak sempurna. Oleh itu, DVS sedang giat menjalankan kempen kesedaran di daerah itu untuk menasihati penduduk agar tidak memindahkan babi peliharaan atau produk berasaskan babi mereka tanpa kebenaran daripada jabatan, ”katanya.

Walaupun Sabah mempunyai 12 daerah terjangkit ASF, dua daerah, Pitas dan Kota Marudu kini diklasifikasikan sebagai ‘indeks kuning’ setelah tidak ada kes ASF baru dilaporkan dalam 60 hari terakhir.

Penyakit ini juga diuruskan mengikut prosedur operasi standard DVS.

Zon indeks kuning bermaksud bahawa repopulasi atau penternakan semula babi adalah dibenarkan selagi ladang/premis meningkatkan keselamatan biosekuriti dan babi didapati daripada ladang yang bebas ASF. Namun demikian, pergerakan keluar masuk babi dan produk babi di daerah indeks kuning masih memerlukan kebenaran daripada DVS.

“Kementerian saya melalui DVS akan terus memantau perkembangan di lapangan dan melaksanakan tindakan yang perlu untuk mengekang ASF daripada menular ke ladang-ladang komersial,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN