30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Persekutuan perlu segera laksanakan Projek Pan Borneo Fasa 3 Pedalaman Atas

Senator Datuk Bobbey Suan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya perlu melaksanakan segera Projek Pan Borneo di kawasan pedalaman atas Sabah memandangkan ianya berhampiran dengan ibu kota Kalimantan-Nusantara.

Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan berkata, daerah-daerah dalam kawasan Pedalaman Atas yang menghubungkan daerah seperti Tawau, Nabawan, Keningau, Tambunan dan Tenom perlu diberikan keutamaan dan didahulukan pelaksanaa Projek Pan Borneo di kawasan itu.

Beliau berkata, ini disebabkan kedudukan daerah-daerah itu yang dekat dengan Ibu Kota Negara Indonesia yang baru yang dijangka akan dirasmikan pada 17 Ogos tahun ini sempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia, yang julung kalinya diadakan di Nusantara.

“Memandangkan keperluan dan peredaran masa, Projek Jalanraya Pan Borneo ini hendaklah dilaksanakan secara serentak tanpa menunggu siapnya Fasa 1 dan 2, kerana semua daerah itu adalah dalam Fasa 3 yang kita tidak tahu bila dimulakan perlaksanaannya”, katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.

Katanya, Indonesia merupakan sebuah kuasa baharu di rantau Asia Tenggara dan sebarang perubahan yang berlaku kepada negara itu pastinya akan memberi implikasi yang besar kepada negara-negara di sekitarnya, tidak terkecuali Malaysia.

Menurutnya, prospek perpindahan ini perlu difahami dengan cermat dan berhati-hati kerana perpindahan ibu kota sebuah kuasa serantau di Asia Tenggara itu kelak bakal menjadi ‘game changer’ kepada perkembangan dan perubahan geo-politik, geo-strategik dan geo-ekonomi yang berlaku di wilayah ini kelak.

Bobbey berkata, perpindahan ibu kota kuasa serantau Indonesia, bakal memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia dan Sabah khususnya, tetapi juga bakal menjadi perhatian kepada kuasa-kuasa ekonomi dunia lain seperti Korea Selatan, China dan Jepun yang selama ini merupakan pemain ekonomi utama di wilayah ini.

“Tidak dinafikan bahawa perpindahan ini akan menjadi medan dan magnet baharu kepada pembangunan ekonomi dan geopolitik di rantau ini yang akan menyamai Metropolis Dubai di Emiriah Arab Bersatu dan Metropolis Shenzen di negara China”, tegasnya.

Katanya, seecara sinikal beliau melihat pihak Kerajaan Persekutuan masih tidak serius dalam menangani isu kelewatan pelaksanaan Projek Pan Borneo di Jajaran Wilayah Sabah yang melibatkan isu pengambilan balik tanah, masalah kontraktor dan sebagainya.

“Sehingga hari ini, pelaksanaannya masih sangat lambat dan menimbulkan kemarahan para pengguna jalan raya di Sabah”, tegasnya.

Bobbey sekali lagi mengulangi gesaan agar Kerajaan Persekutuan menaiktaraf Klinik Kesihatan Daerah Nabawan kepada Hospital Daerah Nabawan.

Katanya, Kerajaan Madani melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dan duduk semeja mengenepikan “red tape” bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf itu dalam tahun ini.

Menurutnya, penaiktarafan itu adalah sesuai dengan status Nabawan sebagai Daerah Penuh dan seiring dengan pertambahan penduduk Daerah Nabawan yang sudah mencecah tiga puluh ribu lebih orang penduduk.

“Dengan kepesatan pembangunan dan kerancakan aktiviti ekonomi yang bersempadanan dengan ibu kota baru Indonesia, Nusantara. Dengan adanya Hospital Daerah Nabawan, para penduduk di Parlimen Pensiangan dan kawasan Parlimen berdekatan berpeluang mendapat fasiliti kesihatan lengkap tanpa perlu melalui perjalanan yang sangat jauh ke Hospital Daerah Keningau atau Hospital Queen Elizabeth Bandaraya Kota Kinabalu untuk menerima rawatan atau rawatan susulan, sekaligus dapat mengurangkan bebanan kos perbelanjaan para pesakit yang tidak berkemampuan”, tegasnya.

Menyentuh insiden kemiskinan tegar negeri Sabah yang masih tinggi iaitu enam kali ganda lebih tinggi daripada kadar nasional, Bobbey menyokong pendidikan TVET menjadi salah satu komponen yang penting untuk menoktahkan kemiskinan tegar tertinggi di lapan daerah termiskin di Sabah.

Beliau mencadangkan diwujudkan satu ekosistem penoktahan kemiskinan tegar yang lebih jelas dan bersinergi. Melalui TVET dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), anak-anak anggota isi rumah golongan miskin tegar dipersijilkan terlebih dahulu melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran atau Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia dalam bidang pertanian dan perladangan mengikut lokaliti dan kelebihan daya saing daerah masing-masing.

“Setelah tamat pengajian, para syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta di dalam daerah berkenaan boleh terus mengambil para graduan TVET ini untuk bekerja dengan sasaran gaji permulaan minimum RM1800 sehingga RM3000 sebulan.

“Dalam masa yang sama, anggota isi rumah miskin tegar yang terlibat dalam IPR melalui Projek Pertanian Bersepadu juga akan mendapat hasilnya”, katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN