29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Persekutuan Digesa Percepat Tambahbaik Infrastruktur & Fasiliti Awam di Sabah

Senator Datuk Bobbey A.Suan

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan menggesa Kerajaan Persekutuan percepatkan penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti di Sabah berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke Wilayah Kalimantan (Nusantara).

Katanya, rakyat Sabah mengharapkan
agar infrastruktur dan fasiliti awam di Sabah juga “on par” dan standing dengan negara jiran itu.

“Sesuai dengan saranan Titah Diraja supaya pihak kerajaan menyediakan peruntukan kewangan untuk infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti, saya menegaskan sekali lagi, bahawa penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti di Sabah hendaklah dipercepatkan berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke wilayah Kalimantan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur, semalam.

Bobbey juga mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk duduk semeja dan menyelesaikan dengan kadar segera masalah kesesakan lalu lintas akibat daripada kekurangan kawasan parkir (kawasan letak kereta) di hospital-hospital kerajaan khususnya di Hospital Queen Elizabeth 1 dan Hospital Queen Elizabeth 2 Kota Kinabalu yang sudah berlarutan bertahun-tahun.

Menurutnya, ini adalah kerana kapasiti dan kapabiliti kawasan letak kereta sedia ada tidak dapat menampung jumlah pesakit dan orang awam yang berkunjung iaitu dalam lingkungan 1,000 sehingga 21,000 orang sehari.

“Saya mengharapkan permasalahan ini dapat diatasi dengan kadar segera demi kepentingan rakyat”, tegasnya.

Beliau juga mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah bagi menoktahkan masalah pendatang asing tanpa izin yang menimbulkan pelbagai masalah sosial di Sabah.

“Antaranya seperti masalah peminta sedekah oleh anak-anak pendatang asing tanpa izin yang menganggu laluan lalu lintas di kawasan bandaraya, masalah air yang disebabkan penyambungan paip secara haram sehinggalah pembinaan tanah perkuburan haram di kawasan merbahaya pencawang elektrik.

“Dengan adanya Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah, saya mengharapkan agar masalah ini ditangani segera. Ini selaras dengan Titah Diraja berkenaan isu-isu pendatang asing tanpa izin dan pelarian, termasuk pemohon suaka yang patut segera ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan demi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman supaya Malaysia kekal aman, sejahtera dan berdaulat”, tambahnya.

Bobbey berkata, Kerajaan Persekutuan juga perlu menggariskan matlamat dan strategi khusus bagi membebaskan Sabah daripada menjadi wilayah paling perlahan pertumbuhan ekonominya serta memiliki paras kemiskinan tertinggi di Malaysia.

Katanya, status Sabah sebagai wilayah termiskin seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Isu kemiskinan di Sabah terlalu kompleks yang memerlukan pendekatan lebih komprehensif mengikut kawasan dan keperluan lebih inklusif mengikut daerah.

“Kerajaan Pusat harus menggariskan pendekatan mikro secara bersinkronisasi dengan kerajaan negeri melalui agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi serta keusahawanan supaya usaha membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dapat direalisasikan segera demi manfaat Wilayah Sabah.

“Kini, saya hanya mengharapkan, menunggu dan melihat apa pendekatan dan cara pihak kerajaan sekarang untuk mengeluarkan 8 buah daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Telipud, Beluran, Tongod dan Nabawan yang termundur dan miskin di Sabah dalam masa dua tahun ini, sehingga tahun 2025”, tegasnya.

Selaku anak jati Sabah, beliau menzahirkan ucapan penghargaan ke atas Titah Diraja yang khusus memfokuskan kepada tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Bagi saya, perkara MA63 ini tidak lagi banyak yang diceritakan kerana ianya sudah dalam peringkat perlaksanaan. Dua peringkat telah kita lalui, iaitu peringkat pertama, dimana pemimpin-pemimpin kita terdahulu telah memperhalusi dan memuktamadkan perjanjian MA63 ini, kemudian peringkat kedua dimana kita telah memasukkannya dalam perlembagaan Malaysia.

“Kini MA63 telah pun menjadi sebahagian daripada perlembagaan negara ini. Hari ini ia seharunya dalam peringkat perlaksanaan perlembagaan, tidak patut ianya dipertikaikan lagi. Laksanakan sahaja apa yang termaktub dalam perlembagaan ini dengan segara secara tuntas”, tegas Bobbey.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah dengan mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik.

Sehubungan itu, beliau turut menyokong sepenuhnya Titah Diraja yang menegaskan agar kerajaan menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak demi untuk menggiatkan aktiviti pembangunan dan pemerkasaan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Menyentuh pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Bobbey mengingatkan kerajaan agar jangan meminggirkan golongan kurang dan kelainan upaya (OKU).

Beliau risau dan terkilan kerana Sabah yang berpopulasi seramai 3.4 juta orang, tetapi hanya sebuah Kolej Vokasional (KV) diwujudkan di Bahagian Pedalaman yang menawarkan TEVT Pendidikan Khas.

Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak OKU di Sabah amat memerlukan KV TVET Pendidikan Khas supaya anak-anak syurga mereka dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang TEVT dan dapat berdikari untuk mencari rezeki serta pendapatan sendiri apabila ibu bapa mereka sudah tiada satu hari nanti.

“Justeru daripada membina KV yang baru, saya mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya menaiktaraf KV sedia ada sama ada di Bahagian Pantai Barat, Bahagian Kudat, Bahagian Sandakan dan Bahagian Tawau termasuklah Wilayah Persekutuan Labuan dengan menambah program TVET Pendidikan Khas untuk anak-anak OKU ini”, tambahnya.

Bobbey juga menyokong penuh penekanan kepada akses perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki dengan memberi keutamaan kepada pelbagai inisiatif yang lebih mesra pendapatan seperti Rumah Mampu Milik (RMM), Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) bukan sahaja bagi kumpulan B40 tetapi juga M40 khususnya golongan miskin bandar.

Katanya, strategi perumahan yang inklusif, praktikal dan mampan hendaklah dirangka melalui sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan secara konsisten.

Di samping itu, katanya penyediaan tempat tinggal yang selesa dan kondusif juga perlu diperluaskan melalui penyediaan bantuan bina baharu serta pembaikan rumah yang uzur terutamanya kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan agar rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera dan mampan.

“Soalan saya kepada pihak kementerian terbabit, berapakah kuota dan status terkini pemilikan 500 ribu unit rumah mampu milik seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia (RM) Ke-12 bagi kumpulan B40 dan M40 di Sabah?”, tanya beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN