28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri wajar wujudkan kilang pemprosesan produk berasaskan nenas.

GAMBAR: James, ketika melawat gerai-gerai peniaga nenas di Pekan Nabalu pada Sabtu.

PEKAN NABALU: Kerajaan Negeri wajar mewujudkan sebuah kilang pemprosesan produk berasaskan nenas di negeri ini bagi meningkatkan taraf ekonomi pekebun nenas khasnya dikawasan luar bandar seperti Pekan Nabalu dan Moyog di Penampang.

Pembantu Menteri Pertanian Negeri Sabah, Datuk James Ratip berkata, kilang pemprosesan nenas sewajarnya telah dibina sekian lama di negeri Sabah memandangkan pengeluaran nenas dikedua-dua lokasi itu tidak mengikut musim dan sentiasa mengeluarkan nenas dalam kuantiti yang banyak setiap tahun.

“Lambakan buah nenas tanpa pembeli yang konsisten menyebabkan para petani nenas kerugian, tambahan lagi dalam tempoh panguatkuasaan pelbagai peraturan untuk mengekang pandemik covid-19 ketika ini. Jika ada sebuah kilang, pasaran akan lebih teratur kerana adanya tempat menjual yang tetap”, jelas James.

Dalam masa sama, James turut menyarankan agar Koperasi Pembangunan Desa (KPD) yang juga salah satu agensi dibawah Kementerian Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah memainkan peranan mereka untuk mencari pelabur yang ada kaitan dengan produk nenas dan memetrai perjanjian dua hala untuk membuat pelaburan di Sabah.

Katanya, dengan adanya pelabur luar berteraskan produk nenas, agihan keuntungan akan melebar kesemua peringkat iaitu negeri, agensi seterusnya para petani sendiri. Justeru, ia perlu disegerakan bagi mempastikan produk berasaskan nenas Sabah dapat diangkat keserata dunia.

“Kepakaran yang ada dikalangan pegawai atasan kementerian dan agensi perlu turun padang secara kerap bagi meninjau dan mendengar keluhan petani nenas. Melalui itu, banyak idea bernas yang boleh dikongsikan termasuk memikirkan jalan penyelesaian yang tuntas berhubung pasaran nenas di negeri Sabah. Saya yakin, petani nenas bakal menikmati pendapatan yang lebih lumayan dan konsisten”, tegasnya ketika melawat gerai-gerai peniaga nenas di Pekan Nabalu pada Sabtu.

James turut menyarankan agar diwujudkan subsidi kepada pekebun nenas yang mengalami kerugian sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas. Subsidi berkenaan bukan sahaja merangkumi baja malah bantuan kewangan sewajarnya.

Katanya, kualiti nenas yang dikeluarkan oleh para petani kecil ketika ini mungkin tidak memenuhi piawayan yang membolehkan pengeksportan keluar negara dilakukan. Justeru, beliau akan membawa cadangan keperingkat atasan kementerian Pertanian Negeri Sabah dan Persekutuan agar menubuhkan satu unit yang dianggotai pegawai dan kakitangan yang memiliki kepakaran mengenai nenas untuk memberi bimbingan secara lebih spesifik tentang penjagaan nenas.

“Dengan adanya bimbingan seumpama itu, kualiti nenas yang dikeluarkan mampu memenuhi standard bagi pengeksportan keluar negara. Namun, kita mesti ada sebuah kilang yang menjadi perantara kepada pemasaran nenas di negeri ini, dan dengan cara itu sahajalah maka wujud pemudah cara kepada petani-petani kecil ini lebih meningkatkan pendapatan mereka”,

Sementara itu, Mailin Kilat, Pengerusi Peniaga Gerai Terbuka Pekan Nabalu ketika ditemui menyatakan, pendapatan petani nenas dikawasan itu agak merundum sejak penularan covid-19 kerana peraih agak berkurangan datang membeli hasil keluaran petani. Menurutnya, harga nenas yang dijual mengikut gred adalah sangat rendah iaitu Gred A sekitar RM 1.20 sekilo, Gred B RM 80 sen manakala Gred C RM 50 sen setiap satu kilogram.

“Kami sangat berharap kerajaan menimbangkan suatu inisiatif seperti pembukaan kilang nenas agar para peniaga dan petani mampu memasarkan hasil tanaman mereka. Ketika ini kami hanya mengharapkan tempahan daripada individu yang juga peniaga dari Pantai Barat atau Pantai Timur yang hanya singgah di gerai kami untuk membeli. Lebihan nenas yang tidak laku kebanyakannya rosak dan terpaksa dibuang begitu sahaja”, ujarnya.

Di dua lokasi iaitu Pekan Nabalu dan Moyog Penampang, hasil nenas yang dikeluarkan para petani kebanyakannya daripada jenis Nenas Paun dan Nenas Madu. Pelbagai produk berasaskan nenas boleh dikeluarkan antaranya jus, jem, sos, makanan kering, jeruk serta bahan kosmetik dan perubatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN