30 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 23, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Komited Perkasa, Martabatkan Bahasa Ibunda

Ewon (tengah) bersama barisan kepimpinan KLF.

PENAMPANG : Kerajaan negeri terus komited dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa ibunda sebagai teras identiti unik Sabah.


Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu penting memandangkan subjek Bahasa Kadazandusun kini sudah menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan negara di sekolah rendah dan menengah di Sabah. 


“Saya akan kemukakan kepada Ketua Menteri dan mesyuarat Kabinet Negeri keperluan menyokong pengajaran bahasa etnik ini melalui pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menawarkan pengajian bahasa ini.


“Ini boleh menjadi galakan kepada pelajar memilih bidang ini dan seterusnya menjadi tenaga pengajar subjek tersebut di sekolah. 


“Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kelestarian bahasa ibunda etnik Sabah diyakini dapat terus dipertahankan sebagai warisan dan identiti negeri,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia anjuran Kadazan Language Foundation (KLF) di Dewan Huguan Siou, Kampung Tuavon, pada Sabtu.


Menurutnya, selain Bahasa Kadazandusun usaha memperkenalkan empat lagi bahasa etnik iaitu Kadazan Tangaa, Murut Timogun, Dusun Lotud dan Tatana kini sedang dimurnikan sebelum dilaksanakan secara lebih meluas di sekolah.


Dalam majlis berkenaan, Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan turut melancarkan Webonary Kadazan–Melayu–Inggeris iaitu pangkalan data digital yang menghimpunkan lebih 30,000 entri Bahasa Kadazan dan hampir 30,000 entri Bahasa Melayu.


Katanya, inisiatif digital itu memudahkan orang ramai mendapatkan terjemahan secara pantas melalui telefon pintar tanpa perlu membawa kamus bercetak yang tebal.


“Ini antara usaha memastikan bahasa ibunda bukan sahaja diajar di sekolah, tetapi dibangunkan dalam pelbagai platform termasuk digital supaya terus digunakan generasi muda,” katanya.


Sebagai tanda sokongan, beliau meluluskan peruntukan RM100,000 daripada peruntukannya sebagai Ahli Parlimen Penampang serta dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pengerusi KKIP bagi menyokong usaha KLF membangunkan bahasa ibunda etnik Sabah.


Beliau turut menyalurkan RM50,000 kepada Persatuan Bahasa Etnik Sabah (PBES) bagi membangunkan lebih banyak bahan pendidikan untuk empat bahasa etnik yang dicadangkan diperkenalkan di sekolah.


Turut disampaikan, Anugerah Kesusasteraan Tan Sri Bernard Dompok kepada pemenang pertandingan novel Bahasa Kadazandusun anjuran KLF.


Hadir sama, Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Pengerusi Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin ADUN Moyog, Pengerusi Pemegang Amanah KLF, Datuk Philip Lasimbang dan Ketua Pegawai Eksekutif KLF, Rita Lasimbang./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN