ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan hargai sokongan berterusan penduduk Sook

GIMIK PERASMIAN..Flovia Ng ( tengah) mengetam padi bersama yang lain sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan peringkat Daerah Sook, di sini pada Ahad.



SOOK: Sokongan berterusan penduduk daerah ini terhadap usaha-usaha pembangunan dari kerajaan dihargai.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, berkata sokongan padu daripada penduduk amat dihargai kerana ia mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sekarang.

Katanya, kesungguhan kerajaan untuk membangunkan negeri ini dapat dilihat daripada inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan oleh kerajaan dalam belanjawan tahun 2025.

“Belanjawan yang bertemakan “Sabah Makmur Rakyat sejahtera”, dengan anggaran perbelanjaan sebanyak 5.421 bilion, adalah yang tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri Sabah

“Antara fokus utama belanjawan ini adalah pembasmian kemiskinan, contohnya melalui program Sentuhan Kasih Rakyat, bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Sook, pada Ahad.

Teks ucapan beliau diibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

Ellron yang juga Adun Sook berkata, kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) buat pertama kalinya memberikan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun kepada golongan yang terkesan miskin dan miskin tegar.

Jelasnya, pemberian bantuan bulanan sepanjang tempoh setahun itu melibatkan peruntukan RM358.5 juta seperti yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Belanjawan Negeri Sabah 2025

“Oleh itu, marilah sama-sama mengekalkan kestabilan politik, agar segala perancangan yang sudah diatur oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tambahnya.

Flovia berucap mewakili Ellron



Terdahulu Ellron dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengelola pesta kaamatan daerah Sook pada tahun ini dengan jayanya.

Beliau berkata, semoga matlamat dan objektif penganjuran Pesta Kaamatan ini tercapai.

“Kaamatan Untuk Semua” adalah tema Pesta Kaamatan pada tahun ini. Tema ini amat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memastikan agar perpaduan serta semangat persaudaraan di kalangan rakyat sentiasa terpelihara.

“Semasa menghadiri perayaan pesta menuai ini diperingkat mukim, saya dapat melihat semua lapisan masyarakat di kampung tanpa mengira bangsa, etnik, agama mahupun budaya menyambut pesta ini dalam suasana yang sangat harmoni,” katanya.

Beliau optimis, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ke perayaan ini membuktikan bahawa pesta kaamatan adalah untuk semua, bersesuaian dengan tema perayaan pada tahun ini.

Flovia (kedua kiri), Pegawai Daerah sook (kanan) bergambar bersama johan Unduk Ngadau Sook 2025, Tati Jacqlyna Doney (duduk) dan pemenang naib johan dan tempat ketiga



“Saya juga mengharapkan penganjuran pesta Kaamatan ini, dapat mempromosikan kepelbagaian budaya dan tradisi suku kaum yang ada di daerah Sook agar tidak hilang ditelan oleh arus pemodenan.

“Melalui penganjuran pesta kaamatan ini, diharapkan keazaman para petani kita untuk menambahkan hasil tanaman akan meningkat. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan taraf hidup penduduk,” Tambah Ellron.

Sementara itu, Flovia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan Unduk Ngadau Sook tahun 2025.

Tahun ini, gelaran Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Sook telah dirangkul Tati Jacqlyna Doney, mewakili Mukim Ansip Atas.

Naib johan, Tati Andrea Olivia Paunus dari Mukim Sook A, manakala wakil daripada Mukim Lanas, Tati Winie Wilson, terpaksa berpuashati di tempat ketiga.







ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN