Datuk Hj.Raime Unggi
TENOM: Kerajaan disaran menyemak semula kadar kos tambang industri pengangkutan awam terutamanya pengusaha bas di Sabah.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Hj.Raime Unggi berkata, industri pengangkutan awam antara industri yang menerima kesan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Katanya, perkhidmatan bas terutamanya di Sabah sejak PKP dilaksanakan telah terhenti dan sumber pendapatan pengusaha-pengusaha bas tidak menentu hingga mengalami kerugian.
“Menyedari permasalahan yang terpaksa dihadapi oleh industri perkhidmatan awam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Bantuan Prihatin Pemandu Bas Pelancong/Persiaran, bantuan kepada pemandu e-hailing dan pemandu teksi dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
“Bagaimanapun, tidak semua permohonan itu diluluskan dan ada yang masih lagi belum menerima bantuan daripada pihak kerajaan.
“Saya difahamkan penurunan jumlah penumpang bas sebanyak 40-50 peratus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan telah menjejaskan lagi pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Hj.Raime yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah berkata keadaan ini telah memaksa pengusaha bas menaikkan kos tambang kerana tidak mempunyai pilihan lain.
“Jika tidak mereka akan mengalami kerugian akibat terpaksa menanggung kos-kos operasi seperti kerosakan, insuran, penyelenggaraan kenderaan dan operasi dihadkan.
“Saya mencadangkan kerajaan meneliti semula keputusan terbaru itu dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memberikan sedikit kelonggaran peningkatan kadar kos tambang industri pengangkutan awam terutamanya pengusaha bas di Sabah,” katanya.
Beliau menggesa supaya pihak kerajaan mengambil perhatian masalah yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha bas dan mencari kaedah yang terbaik ‘menang-menang’ di antara kedua-dua pihak.
“Masyarakat juga harus bekerjasama dengan mematuhi segala SOP yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha kerajaan memutuskan wabak pandemik COVID-19,” katanya. Tamat/-