Suasana Kampung Salarom Taka di Daerah Nabawan.
RANAU: Kerajaan dicadangkan agar membuat kajian mengenai beberapa kawasan perkampungan terpencil dan mempunyai jumlah penduduk kecil untuk dibuat penempatan semula agar pembangunan lebih terbela.
Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, terdapat beberapa kawasan perkampungan di daerah-daerah sekitar negeri ini yang mempunyai bilangan penduduk agak kecil dan lokasinya terpencil yang mungkin wajar dibuat kajian untuk dikeluarkan ke suatu lokasi yang lebih selesa.
“Sebagai contohnya, di daerah Ranau terdapat perkampungan agak terpencil seperti di Kampung Patau dan Kampung Mansalu dalam mukim Ulu Sugut yang terletak jauh di kawasan pendalaman dan bilangan penduduknya tidak pun mencecah 100 orang. Tambahan lagi jalanraya perhubungan ke kampung itu hanya bergantung kepada jalan bekas kem pembalakan dan menyukarkan pembangunan disalurkan, ia sudah tentu wajar dikaji semula untuk membawa penduduk berpindah ke lokasi yang lebih selesa’’. Katanya.
Kong yang juga Pengerusi Ko-Nelayan berkata, pada sekitar tahun 2009 kerajaan negeri pada waktu itu pernah memperkenalkan usaha Projek Perhutanan Masyarakat (PPM) dikawasan daerah Nabawan dan Pensiangan dimana penduduk yang masih tinggal di kawasan-kawasan hutan simpan telah dipindahkan untuk meningkatkan peluang ekonomi dan membasmi kemiskinan.
Tegasnya, dengan adanya usaha seumpama itu, penduduk terlibat akan dapat mengorak langkah pertama untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka kerana selama ini mereka berada dikawasan hutan simpan yang tidak bebas untuk bercucuk tanam kerana dasar perhutanan negeri.
‘’Saya sedar perkara ini bukanlah mudah kerana pelbagai rintangan perlu dihadapi termasuk berdepan dengan karenah penduduk kampung terlibat termasuk adat-istiadat. Namun jika diberi pemahaman secara mendalam, agak mustahil mereka tidak akan bersetuju”. Jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar Kong, untuk merealisasikan impian itu, kerajaan juga perlu menyediakan penempatan kekal yang selesa serta lengkap dengan kemudahan asas dan melantik agensi tertentu sebagai penyelia pembangunan untuk mempastikan penempatan baru lebih tersusun.
“Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan pernah memindahkan beberapa penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Salarom, Lelimpi, Malilia dan Kabu yang bersetuju berpindah ke kampung Salarom Taka di Daerah Nabawan dan kini kehidupan mereka begitu sempurna sekali,” katanya.