26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 1, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kepimpinan Berprestasi Tinggi Pacu Pertumbuhan Ekonomi – Safar

Celestina ketika membacakan teks ucapan semasa Majlis Penutupan High-Performance Economic Leadership Conference 2025.

KOTA KINABALU: High-Performance Economic Leadership Conference 2025 (HiPEL25) menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kepimpinan berprestasi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kecemerlangan perkhidmatan awam negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong berkata,  HiPEL25 membuka satu lembaran baharu dalam pembangunan kepimpinan yang menggabungkan elemen teknologi dan kemanusiaan bergerak seiring ke hadapan.

“Sepanjang persidangan ini, kita telah berkongsi pelbagai idea dan pengalaman yang meneguhkan aspirasi bersama untuk memperkukuh kepimpinan berprestasi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kecemerlangan perkhidmatan awam negara. 

“Pandangan dan perspektif yang dikongsikan mengingatkan kita bahawa kepimpinan yang unggul bukan sahaja tentang mencapai hasil, tetapi tentang mencipta impak, membina kepercayaan dan menyampaikan nilai yang lestari untuk rakyat.

“Perjalanan menuju sektor awam yang berprestasi tinggi, inovatif dan berdaya tahan bermula dengan setiap daripada kita memimpin dengan visi, integriti dan tujuan yang jelas,” katanya semasa Majlis Penutupan High-Performance Economic Leadership Conference 2025, di sini, pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Celestina Aron. 

Menurutnya, teknologi, data dan dasar strategik merupakan teras kepada transformasi ekonomi dan tadbir urus sektor awam yang mampan.

“Teknologi memberi ruang untuk kita berinovasi. Data membolehkan kita membuat keputusan yang lebih tepat. Dasar strategik pula memastikan kemajuan kita berpaksikan visi dan integriti. 

“Namun, di sebalik semua ini, elemen terpenting ialah rakyat dengan kreativiti, kebolehsuaian dan semangat mereka dalam perkhidmatan awam,” ujarnya.

Beliau turut menekankan masa depan Sabah tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber alam, tetapi kepada kekuatan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.  

“Dengan memperkukuh kemahiran digital, memupuk inovasi, serta menggalakkan kolaborasi antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti, kita mampu membina Sabah yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.

“Namun, dalam mendigitalisasikan perkhidmatan, kita juga perlu memanusiakannya. Kemajuan tanpa integriti tidak akan berkekalan. Biarlah transformasi kita dipandu oleh nilai kepercayaan, ketelusan dan tujuan bersama. Biarlah teknologi berkhidmat untuk manusia, dan data menjadi inspirasi kepada kefahaman yang lebih mendalam,”tambahnya.

Bertemakan “Building Smart Economies: Technology, Data, and Strategic Policy”, persidangan sehari itu berjaya menghimpunkan kira-kira 350 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang pemimpin untuk berkongsi pengalaman serta strategi kepimpinan berprestasi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN