James bersama jentera mesin jengkaut miliknya membina jalan alternatif bagi mengurangkan kesulitan pengguna.
SUGUT: Kurang daripada 24 jam selepas Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib membuat lawatan mengejut di kawasan tanah runtuh Kilometer 127.5 Jalan Paitan-Kinabungan, janji pemimpin itu untuk meminimumkan kerosakan bagi mengurangkan kesulitan pengguna terus dilaksanakan dengan pembinaan segera jalan alternatif sejauh 400 meter.
Beliau menyatakan pembinaan jalan alternatif itu dilakukan menggunakan jentera mesin jengkaut miliknya sendiri pada jam lebih kurang 4 petang hari ini dan siap sepenuhnya pada jam 8 malam.
“Selepas saya bersama Jurutera JKR Daerah Beluran dan wakil Syarikat Konsesi meninjau lokasi tanah runtuh tersebut, kami turut bersetuju untuk satu kawasan dibina jalan alternatif bagi mengurangkan kesulitan pengguna. Ia terletak lebih kurang 100 meter dari lokasi runtuhan”, jelas beliau.
Tambahnya lagi, beliau memahami kesulitan untuk mendapatkan bantuan daripada syarikat atau kerajaan bagi membina semula jalan raya tersebut dalam tempoh perlaksanaan PKP ketika ini. Justeru itu, beliau sebagai wakil rakyat N.48 Sugut menggunakan jentera miliknya sendiri membina segera laluan alternatif kerana menyedari kepentingan dan kebajikan rakyat kawasannya.
“Jalanraya ini antara nadi perhubungan penting penduduk kampung untuk ke Pekan Paitan bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan seterusnya laluan ke Pekan Pitas dan Kota Marudu, itu sebabnya saya segerakan pembinaan jalan alternatif bagi meringankan kesulitan mereka” tegas james.
Walaubagaimanapun katanya, jalan alternatif itu belum sesuai dilalui oleh kenderaan ringan dan hanya kenderaan pancuan empat roda kerana fasalitinya belum lengkap. Kelengkapan fasaliti lain seperti menabur batu dijalan tersebut akan dilakukan selewat-lewatnya esok hari oleh pihak konsesi.
Dalam masa sama, James turut menasihatkan agar para pengguna terus berhati-hati ketika melalui kawasan runtuhan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.