26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 3, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kenyataan Kerajaan Sabah mengenai “Tiada Pelajar Tercicir” tidak benar, gagal cerminkan realiti di UMS: Greg

GREG MARTHIUS


KOTA KINABALU: Mantan Majlis Perwakilan Pelajar Jabatan Kebajikan Mahasiswa (MPPJKM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2024/2025, Greg Marthius, tampil mengecam kenyataan Kerajaan Sabah yang mendakwa “tiada pelajar tercicir” dalam pelaksanaan Sistem Sentosa.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas, menyesatkan serta menafikan realiti kesusahan ratusan pelajar yang bergantung kepada bantuan tersebut.

Menurut Greg, dapatan di lapangan jelas menunjukkan masih ramai mahasiswa tercicir akibat kelewatan agihan, ketidakselarasan data dan kelemahan sistem yang menurutnya “gagal beroperasi secara efektif”.

Katanya, banyak aduan pelajar tidak dijawab dengan tuntas walaupun telah disalurkan melalui pelbagai saluran, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan sistem itu sendiri.

“Adalah tidak wajar bagi kerajaan menyatakan semua pelajar menerima bantuan sedangkan kelemahan sistem tersebut masih menjejaskan kehidupan dan pembelajaran ramai mahasiswa

“Proses pengendalian Sistem Sentosa nyata membebankan pelajar, lebih-lebih lagi apabila tiada tindakan pembetulan segera dilakukan meskipun isu ini telah dikemukakan berkali-kali kepada pihak kerajaan dan pengurusan universiti,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin.

Menurut Greg, sebagai wakil mahasiswa, beliau telah beberapa kali berjumpa dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS untuk mencari penyelesaian melalui pendekatan Government-to-Government (G2G) bersama Kerajaan Sabah. Namun, katanya, masalah bukan sahaja tidak diselesaikan, malah terus memburukkan keadaan.

Beliau menambah bahawa sehingga kini, nama pelajar masih ditapis tanpa rasional yang jelas, maklumat eligibility tidak diterangkan, dan soalan lazim (FAQ) rasmi Sentosa langsung tidak menyatakan sesi atau tahun pengajian yang layak menerima bantuan.

“Proses semakan, rayuan dan maklum balas pula tidak konsisten, menyebabkan pelajar terus berada dalam keadaan keliru dan tertekan

“Saya melahirkan rasa kesal apabila terpaksa menyediakan lembaran Excel sendiri bagi mengumpulkan data pelajar tercicir, satu tugas yang menurutnya sepatutnya terletak pada pihak kerajaan. Data sama turut dihantar berulang kali kepada pelbagai pihak, tanpa sebarang perkembangan yang jelas,” luahnya.

Katanya lagi, pelajar dipaksa mengisi borang sama berkali-kali, manakala hasil perbincangan G2G tidak membawa kepada sebarang penyelesaian konkrit sehingga ke hari ini.

Greg mengusulkan beberapa penambahbaikan segera, termasuk mengambil model Sarawak melalui SPay Global yang terbukti stabil, cepat dan telus dalam penyaluran bantuan terus ke e-wallet penerima.

Beliau turut mencadangkan penggunaan MyKad sebagai kaedah verifikasi automatik seperti diamalkan kerajaan persekutuan, bagi menghapuskan isu tapisan tidak telus dan keperluan mengisi borang secara berulang.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu membuka ruang untuk menerima cadangan tersebut sekiranya benar-benar mahu menyelesaikan masalah yang sedang menghimpit pelajar.


Greg mengemukakan tuntutan agar kerajaan menambah baik Sistem Sentosa dengan garis masa tindakan yang jelas, menggunakan MyKad atau integrasi e-wallet untuk menghapuskan borang berulang, menambah peruntukan bagi memastikan semua pelajar layak menerima bantuan, mengemaskini FAQ secara terperinci termasuk maklumat sesi pengajian, dan menyalurkan bantuan kecemasan kepada pelajar yang sudah lama menunggu.

“Isu ini telah berubah menjadi masalah kebajikan, psikologi dan beban kewangan pelajar. Menurutnya, penyelesaian mesti bersifat menyeluruh, membaik pulih sistem, menambah peruntukan dan memastikan pelaksanaan yang telus

“Pelajar tidak boleh terus dipinggirkan. Peruntukan boleh ditambah, tetapi masa, tenaga dan tekanan yang ditanggung mahasiswa tidak boleh diganti,” katanya sambil menuntut tindakan segera daripada Kerajaan Sabah demi memastikan nasib pelajar UMS tidak terus terabai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN