Robert bersama rombongan melawat Jalan Kampung Minansut yang telah dinaiktaraf.
KENINGAU:Kerajaan tetap akan berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat di setiap kampung.
Ahli Dewan Umdangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @Nordin berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan rakyat, beliau akan tetap berusaha dan melakukan yang terbaik untuk membantu menyediakan kemudahan infrastruktur untuk rakyat yang diwakilinya.
“Kita lakukan ini demi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk disamping memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk kampung khususnya di DUN Bingkor” katanya selepas melakukan lawatan kerja pelaksanaan projek di kawasan Bingkor kelmarin.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, lawatan itu bertujuan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lancar dan siap seperti yang diharapkan oleh penduduk kampung.
Pada lawatan kerja itu, Robert bersama rombongan telah melawat pelaksanaan sembilan projek iaitu naiktaraf jalan konkrit di Kampung Minansut yang melibatkan jarak sejauh 150 meter, Gerai Kampung Sandapak yang telah siap dibina, pembinaan parit konkrit di Kampung Bunsit, Gerai di Kampung Tuntumulud, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Kampung Sasie Bingkor sejauh 150 meter, kerja-kerja pembinaan parit konkrit di Kampung Bunsit sejauh 50 meter, jalan yang telah dinaiktaraf kepada konkrit di Kampung Labak Awas-Awas sejauh 200 meter, penyelenggaraan Jalan Lipasu Kamansi dan pembinaan Dewan Terbuka di Kampung Baru Bingkor.
Robert (kanan)bersama rombongan semasa melawat Gerai Kampung Sandapak yang siap.
Turut sama pada lawatan ini Pemaju Mukim Bingkor George Dairie; kakitangan Pejabat ADUN Bingkor, Pengerusi JPKK Kampung Minansut Sylvester Antoney dan Pengerusi JPKK Kampung Baru Bingkor Francis Lintau.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Minansut Sylvester Antoney amat berterima kasih kepada kerajaan GRS dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah yang begitu mengambil berat terhadap masalah rakyat di kawasan luar bandar.
Beliau juga berterima kasih kepada Robert yang sering kali turun padang untuk melihat keperluan rakyat di kawasannya.
Katanya, jika beliau (Robert)mendengar masalah rakyat samada melalui media sosial atau aduan orang beliau terus bertindak serta merta membuat tinjauan dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh penduduk dan terus mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.