Ketibaan Ewon disambut mesra penduduk ketika tiba di majlis itu
KOTA BELUD: Sebanyak lima kampung di kawasan Kota Belud menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi menyelenggara lima jalan ladang pekebun kecil (JLPK) bagi meningkatkan kemudahan asas pertanian di kampung berkenaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga penyandang kerusi DUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick, berkata projek penyelenggaraan itu melibatkan tiga kampung di DUN Kadamaian iaitu Kampung Nahaba, Kampung Tambulion dan Kampung Telungan.
Beliau berkata, dua daripada projek itu melibatkan kampung di DUN Tempasuk (Kampung Kalibungan) dan DUN Pintasan (Kampung Dudar Ulu).
“Peruntukan ini penting untuk memudahkan urusan pengangkutan hasil sawit oleh pekebun kecil serta menjamin kelancaran aktiviti ekonomi setempat.
“Di peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kita juga bekerjasama untuk membantu koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor perladangan.
“Sebagai contoh, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan geran pembangunan sebanyak RM69,000 kepada Koperasi Pekebun Kecil Sawit Mampan Kota Belud bagi menaik taraf kemudahan di pusat timbangan sawit di Kampung Rosok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit dan Koko di Dewan Gopog, Taginambur, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Penyelaras Negeri Sabah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Amran Arifin dan Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengembangan Lembaga Koko Malaysia Abdul Karim Che Hamid.
Ewon berkata, menerusi pendekatan whole-of-government, kementerian yang dipimpinnya akan terus melengkapkan usaha pembangunan sektor komoditi dengan memperkukuh peranan koperasi.
Katanya, kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan memberi manfaat menyeluruh kepada pekebun kecil, usahawan serta koperasi, terutama dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan komoditi negara.
Pads majlis itu Ewon menerima taklimat daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) mengenai pelbagai inisiatif termasuk penubuhan koperasi pekebun kecil sawit mampan dan koperasi kluster koko.
Selain itu beliau turut menyampaikan beberapa anugerah pekebun kecil sawit dan koko cemerlang serta sijil Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil kawasan Kota Belud



