KENANGAN…Penganjur bergambar bersama pasukan juara, naib juara dan ketiga
KOTA KINABALU: Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan Bola Sepak Lapan (8) Sebelah antara jabatan dan agensi kerajaan, pada 17 Mei lalu.
Kejohanan anjuran Kelab Telekom Malaysia (TM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu telah berlangsung selama sehari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di FUT8 Jesselton Point, di sini.
Menurut Presiden Kelab TM Sabah & WP Labuan, Azhar Mustapha, 16 pasukan yang telah menyertai kejohanan itu terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS).
Pasukan lain yang mengambil bahagian, Sabah Electricity Metro (SE Metro), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Sabah Journalist Association (SJA), Malaysia Airport Berhad (MAB), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Seri Pancar (Vendor TM Sabah), Tetap Yakin (Vendor TM Sabah) dan Federal Agricultural Marketing Authority (FAMA).
Manakala TM Sabah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pos Malaysia, masing-masing menghantar dua pasukan.
Menurut Azhar, yang juga Pengurus Besar Perniagaan TM Sabah, penganjuran kejohanan itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik selain memupuk semangat kerjasama antara Telekom Malaysia (TM) dan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan, khususnya di Sabah dan Labuan.

JUARA…Pasukan PDRM
“Penganjuran kejohanan ini juga merupakan satu inisiatif penting dalam mempererat hubungan silaturahim antara warga TM dan rakan-rakan strategik di sektor awam
“Ia juga menjadi platform untuk memupuk nilai-nilai murni seperti semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, dan saling menghormati
“Selain sebagai aktiviti riadah, kejohanan ini turut menyokong aspirasi untuk membentuk budaya kerja yang sihat dan positif dalam kalangan warga kerja TM serta penjawat awam,” katanya kepada media, hari ini.
Ujar Azhar lagi, kejohanan itu juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai urusan profesional pada masa hadapan.

Sebahagian pasukan yang menyertai kejohanan itu bergambar bersama penganjur
Melihat kepada sambutan menggalakkan dan semangat kesukanan yang ditonjolkan, Azhar turut merancang untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti seumpamanya pada masa akan datang.
Dalam kejohanan itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Jabatan Pengangkutan Jalan A (JPJ A) yang terpaksa akur sebagai naib juara, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan B (JPJ B).



