RANAU: Kelab Penyokong Liverpool FC Ranau telah berkumpul untuk memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga yang baru-baru ini kehilangan dua orang tua mereka dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah tersebut di sini baru-baru ini.
Kelab itu membuat inisiatif untuk mengumpulkan sumbangan daripada ahli-ahli kelab ekoran insiden pada 26 Oktober 2019 di Kg Kinapulidan itu, dan berjaya mengumpul sejumlah wang tunai dan barangan makanan.
Penyerahan sumbangan dilakukan oleh Presiden Kelab Penyokong Liverpool FC Ranau Jasni Bin Haji Rijan, yang juga Biro Keagamaan UPKO Sabah di lokasi rumah terbakar berkenaan pada hari Isnin.
Semasa penyerahan sumbangan itu, jurucakap kelab berkata inisiatif itu merupakan tanda sikap prihatin kelab kepada masyarakat di sekitar kawasan ini terutama yang kurang bernasib baik seperti yang menimpa keluarga tersebut.

“Ini adalah sumbangan ikhlas yang ala kadar, dan jumlah yang kami berikan hanya sederhana, tetapi hati dan minda kami adalah kepada ahli keluarga yang kehilangan orang yang tersayang dalam kebakaran serta kerugian dari segi harta benda, dan kini hanya bergantung kepada satu sama lain untuk keselesaan.
“Kami berharap dengan lawatan ini, kami dapat membawa sokongan moral kepada ahli keluarga. Ini juga untuk memupuk semangat persahabatan dan mendekatkan silaturahim kami di antara ahli kelab dan masyarakat sekeliling, khususnya keluarga mangsa,” katanya.
-Jasni Rijan-
Sementara itu, jurucakap keluarga mangsa mengucapkan terima kasih kepada kelab itu dan memuji inisiatifnya untuk memberi sumbangan dan meluangkan masa bersama keluarga, dan berharap sumbangan yang diberikan akan meringankan beban keluarga tersebut.
Turut hadir ialah ahli kelab Johari Bin Abdullah, yang juga Penolong Pegawai Daerah Pitas, wakil keluarga mangsa, Rasli Bin Kasto, dan ahli-ahli lain dari Kelab Penyokong Liverpool FC Ranau.
