TAHNIAH……….Para pemenang Kejohanan Merentas Desa Peringkat SK. Napong memperlihatkan Sijil penyertaan mereka.
Oleh Salwah Aramat
RANAU: Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah Kebangsaan Napong berlangsung meriah dengan penyertaan menggalakkan murid-murid serta sokongan padu ibu bapa dan warga sekolah.
Kejohanan tahunan itu menghimpunkan murid daripada pelbagai peringkat umur dan kategori, sekali gus menjadi medan penting mencungkil bakat sukan, khususnya dalam acara larian jarak jauh di peringkat sekolah rendah.
Pelepasan rasmi kejohanan disempurnakan oleh Guru Besar SK Napong, Emily William, diiringi Penolong Kanan Kokurikulum, Julilian Jumil. Suasana penuh semangat jelas terpancar sebaik sahaja isyarat pelepasan diberikan kepada para peserta.
Emily berkata penganjuran kejohanan itu bertujuan mengenal pasti murid berpotensi untuk mewakili sekolah ke Kejohanan Merentas Desa Peringkat Zon Utara yang dijadualkan berlangsung pada masa akan datang.

SYABAS……..Emily menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang tempat pertama dalam kejohanan itu.
“Selain meningkatkan kecergasan fizikal, kejohanan ini turut membentuk daya tahan mental, semangat juang dan disiplin diri murid sejak usia muda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan murid agar sentiasa mematuhi peraturan, mengamalkan disiplin tinggi serta menerapkan nilai murni dalam kehidupan seharian, yang disifatkan mampu memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah dan imej sekolah.
Sepanjang kejohanan, ibu bapa dan guru-guru tidak putus memberi sorakan serta galakan, sekali gus mewujudkan suasana harmoni dan menyemai semangat kesukanan dalam komuniti sekolah.
Majlis penutupan diserikan dengan penyampaian hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil kepada pemenang tempat pertama hingga kesepuluh sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.



