Gambar atas : Sebahagian penduduk yang datang di tamu tersebut
RANAU: Kejayaan mewujudkan Tamu Mingguan di Kampung Sagindai Baru, baru-baru ini boleh dijadikan contoh kepada penduduk di kampung lain bagi membantu para petani dan usahawan menjana pendapatan di samping memudahkan para penduduk atau pengunjung luar mendapatkan sayur-sayuran, ikan, daging, kuih-muih dan sebagainya.
Pengwujudan Tamu Mingguan Kampung Sagindai Baru itu yang berada di bawah kendalian sepenuhnya oleh Biro Wanita, Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan Kampung (JPKK) adalah hasil permuafakatan di antara Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung dan badan JPKK.
Ketika ditemui wakil media, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Noraini Jonius menaruh keyakinan bahawa pengwujudan tamu tersebut akan lebih mendapat sambutan yang menggalakkan pada masa-masa akan datang berdasarkan pemerhatian dan maklum balas daripada para pengunjung semasa pembukaan awal pasar itu.
“Saya menyeru kepada semua penduduk dan yang ada di persekitaran berhampiran kampung supaya dapat bersama-sama memberikan sokongan pasar mingguan tersebut. Kita juga sentiasa sentiasa bersikap terbuka untuk menerima cadangan-cadangan yang membina daripada sesiapa sahaja untuk memastikan tempat itu berterusan seterusnya menjadi contoh kepada kampung-kampung yang lain” katanya.

Ketua Biro Wanita JPKK (berbaju hitam), Rut Siansim turut datang membeli kuih-muih
Dalam pada itu, Ketua Biro Wanita JPKK, Rut Siansim, menyatakan tapak pasar itu berada di kawasan Gelanggang Sepak Takraw yang telah dibahagikan kepada beberapa lot bersaiz 10 X 10 kaki persegi untuk kemudahan para petani atau penjual yang memerlukan.
“Kita tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada sesiapa sahaja yang ingin menempah lot itu. Tujuan membahagikan kawasan kepada lot-lot kecil ialah supaya kawasan itu lebih tersusun dan tidak berselerak untuk memudahkan laluan dan pematuhan SOP yang telah kita tetapkan,” katanya.
“Buat masa ini lot masih ada dan kita mohon kepada penduduk yang berminat menjual apa juga hasil pertanian, ikan, daging, kuih-muih, minuman dan sebagainya boleh terus menghubungi saya atau rakan ahli jawatankuasa kita yang lain. Ini perlu supaya kita dapat menentukan di mana tempat dan memberikan penerangan tentang syarat-syarat SOP yang telah ditetapkan,” katanya.