Gambar atas: Alicie Jampi memilih bantal sebagai hadiah kemenangan, manakala gambar bawah: Jestini Salim memilih blender yang disampaikan oleh Fred (kanan)
RANAU: Keharmonian dan kemesraan suasana di Majlis Hari Raya Aidil Fitri yang disambut secara santai di perkarangan jalan raya berhampiran Taman Permainan Kanak-Kanak baru-baru ini jelas terpancar di setiap wajah para penduduk KRT Perumahan Taman Saujana Kinabalu.
Sambutan majlis tersebut yang diraikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama itu berjaya membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat Taman Saujana Kinabalu.
Penduduk Perumahan Taman Saujana Kinabalu yang terletak kira-kira 3.8 Kilometer dari Pekan Ranau itu menikmati hidangan juadah yang pelbagai. Lemang dalam bambu yang dimasak awal secara bergotong-royong menjadi pilihan dan antara makanan yang paling cepat habis.
Majlis diserikan dengan cabutan tiket bertuah melalui sedikit kelainan daripada kebiasaan apabila pemenang cabutan dibebaskan memilih sendiri hadiah cabutan yang disukainya. Hadiah-hadiah yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi KRT, Fred Tuh Yit Yu adalah dalam bentuk hamper, barangan dapur, barangan elektrik dan lain-lain lagi. Acara cabutan tiket bertuah dikendalikan oleh Ismail Jusoh sebagai pengacara.
Sambil menikmati juadah, majlis diserikan lagi dengan persembahan acara suka-suka lagu Hari Raya dan yang paling menyeronokkan bagi kalangan kanak-kanak ialah dapat bermain gelongsor, jongkang jongkit dan ayunan di Taman Permainan Kanak-Kanak serta merasai rasa nikmat kelazatan beraneka jenis perisa aiskrim yang diberikan secara percuma.

Gambar atas: Aiskrim turut diberi secara percuma dan gambar bawah: Syumaimah Yahaya (Setiausaha KRT),menikmati minuman
Timbalan Pengerusi KRT Taman Saujana Kinabalu, Fred Tuh Yit Yu, ketika ditemui berkata perayaan tahunan seperti Aidilfitri, Krismas, Deepavali dan Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang memanfaatkan semua kaum dari segi memupuk silaturahim, keharmonian, keamanan dan perpaduan.
“Kita perlu menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengukuhkan silaturahim kaum melalui aktiviti seperti ini. Kita mendoakan agar penduduk di Taman Saujana Kanabalu ini sentiasa saling hormat menghormati dan peka serta melibatkan diri apa juga program KRT. Terimakasih dengan penglibatan pada hari ini. Kita juga berterimakasih kepada semua kerana bersama-sama memberikan sumbangan wang sebagai dana bagi menjayakan majlis ini,”jelasnya.