Dari kanan (depan), Hajah Asnah, Roslinah, Vencis dan Zulhadi
RANAU: Kehadiran Lee Su Kong @ Vencis Lee yang baharu dinaikkan pangkat menjawat jawatan Penolong Kanan Kokurikulum ke Sekolah Kebangsaan Marakau bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh guru bersara mampu memantapkan lagi kemenjadian murid yang sedia ada.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum bertanggungjawab merancang aktiviti Persatuan Unit Beruniform, Sukan dan Permainan serta menguruskan pemilihan peserta dalam setiap badan kokurikulum. Selain menyelia kegiatan sukan dan permainan, penyelarasan aktiviti sukan dan permainan di dalam dan di luar sekolah turut menjadi tanggungjawab GPK Kokurikulum.
Tugas guru penolong kanan kokurikulum memainkan peranan yang penting bersama-sama Guru Besar sekolah dalam mencapai Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mengangkat prestasi sekolah ke arah yang cemerlang.
Apabila sesebuah sekolah mencapai gelaran sekolah cemerlang, secara tidak langsung turut menghasilkan pelajar-pelajar yang mempunyai nilai prestasi yang tinggi bukan sahaja pada aspek pendidikan malah aspek kokurikulum. Kecemerlangan sekolah atau pelajar tidak boleh diukur dengan hanya mengambil kira aspek pendidikan, pencapaian sukan dan unit beruniform bahkan dalam penglibatan aktiviti luar sekolah turut menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar.
Demikian antara ucapan aluan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Marakau, Hajah Asnah Ariffin sempena Majlis Meraikan Penolong Kanan Kokurikulum baharu, Lee Su Kong @ Vencis Lee yang diadakan di Dewan SK. Marakau baru-baru ini. Turut diraikan ialah Mohd Zulhadi Saimin, guru agama yang menggantikan guru bertukar ke sekolah lain, Ustazah Rose Aini Sidan.
“Kita kenal Cikgu Vencis sebelum dilantik Penolong Kanan Kokurikulum ke sekolah ini. Beliau merupakan seorang guru yang aktif dalam bidang sukan dan permainan di Sekolah Kebangsaan Kananapon. Dalam kejohanan sukan olahraga dan kejohanan bola baling bawah 12 peringkat Zon Timur baru-baru ini, Cikgu Vinces adalah antara pegawai pengelola yang menjayakan kejohanan tersebut malah salah seorang pengadil kejohanan bola baling,” jelas Hajah Asnah.
Warga sekolah sangat mengalualukan kehadiran mereka berdua sebagai penjawat awam dalam generasi yang lahir dalam gelombang pendidikan ke arah transformasi secara menyeluruh. Sebagai seorang guru muda, semangat jati diri mereka masih tinggi dan kita mengharapkan mereka ada perancangan atau pelan tindakan untuk mencapai jangkaan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama yang wajib di setiap jabatan.
“Satu cabaran kepada mereka yang masih muda agar dapat mempergunakan keupayaan yang ada di samping sentiasa meneroka dan mempelajari sesuatu yang baharu dan menimba ilmu sebagai tambahan pedagogi. Orang muda tidak sepatutnya mudah patah semangat sebelum berkembang. Buktikan keupayaan dengan manjadikan amanah dan tugas sebagai nadi yang mengalir di seluruh urat saraf agar menjadi santapan minda yang perlu diingati tiap saat dan waktu. Penghayatan ke atas bidang tugas perlu ada untuk menjadikan diri sebagai pakar dalam mengimplementasikan semua sumber yang ada. Syarat utama adalah saling memberi dan menerima selaras dengan slogan SK. Marakau ‘Strong Together,’ jelas Hajah Asnah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Roslinah Apin, Pegawai SISC+ Bidang Bahasa Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Puan Wilda Watis, Pegawai Pemulihan Khas Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan Yang Dipertua PIBG SK. Marakau, Razipin Gutuk.