KOTA BELUD: Inisiatif Kebun Nuri Nutrisi yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat mampu melahirkan generasi celik keusahawanan sejak di bangku sekolah, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja memperkenalkan murid kepada amalan pemakanan sihat, malah memberi peluang kepada mereka mempelajari asas keusahawanan dan pertanian secara praktikal.
“Saya yakin program Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat ini dapat memupuk kesedaran berkeusahawanan di kalangan warga sekolah, khususnya murid-murid untuk berkecimpung dalam sektor keterjaminan makanan.
“Kita mahu semangat keusahawanan itu bermula dari sekolah dan berkembang apabila mereka dewasa kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kebun Nuri Nutrisi di Sekolah Kebangsaan (SK) Narinang, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff dan pengurusan tertinggi Bank Rakyat serta warga sekolah.
Program di SK Narinang itu merupakan projek ke-29 dilaksanakan Bank Rakyat di sekolah-sekolah seluruh negara sejak inisiatif itu diperkenalkan pada tahun 2020.
Kebun Nuri Nutrisi di SK Narinang melibatkan projek tanaman hidroponik sayur salad sebanyak 540 pasu yang diurus oleh 20 murid Kelab Sains Sekolah sebagai sebahagian daripada aktiviti pendidikan dan keusahawanan.
Jumlah sumbangan Bank Rakyat bagi projek ini ialah sebanyak RM19,825, memberi manfaat kepada 70 pelajar sekolah berkenaan.
Sejak tahun 2021 hingga kini, program Kebun Nuri Nutrisi telah memanfaatkan lebih 26,000 pelajar B40 daripada 29 institusi pendidikan di seluruh negara, menjana lebih RM55,000 pendapatan hasil tuaian lebih 17,000 kilogram tanaman.
Ewon berkata, beliau menghargai komitmen Bank Rakyat yang aktif melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk bantuan kepada sekolah-sekolah, program tuisyen, bencana dan zakat.
“Bank Rakyat merupakan antara agensi di bawah KUSKOP yang paling aktif melaksanakan program CSR di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar seperti di Narinang ini.
“Saya berharap lebih banyak agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), turut sama melaksanakan program CSR seperti ini bagi melengkapkan usaha kerajaan mensejahterakan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Ewon turut berkunjung ke Hospital Kota Belud dan Wad Kanak-kanak bagi menyampaikan sumbangan di bawah inisiatif BaktiRAKYAT Bank Rakyat.
Sumbangan tersebut merangkumi kos pembinaan laluan pejalan kaki di hospital berkenaan, manakala UDA Holdings turut menyumbangkan 10 kerusi roda dan keperluan lain untuk wad kanak-kanak dan wad awam.
Ewon merakamkan penghargaan kepada kedua-dua agensi di bawah KUSKOP itu atas keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu komuniti setempat tetapi juga memperkukuh peranan agensi di bawah KUSKOP dalam memperkasa keusahawanan sosial dan tanggungjawab korporat,” katanya.