LABUAN: Tindakan kapal kargo yang membawa bekalan gula berpatah balik ke Pasir Gudang, Johor baru-baru ini dikesan sebagai punca Labuan kekurangan bekalan gula.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Amirul Hadi Idham (gambar) dalam satu kenyataan media di sini berkata, akibat daripada tindakan kapal berkenaan, menyebabkan bekalan gula di pulau ini mengalami gangguan bagi menampung keperluan untuk penduduk di pulau bebas cukai ini.
Amirul berkata, kapal berkenaan berpatah balik ke Pasri Gudang kerana tidak dapat berlabuh di Labuan disebabkan prosedur operasi standard (SOP), yang belum membuka kebenaran untuk kapal asing berlabuh di pulau ini.
Berikutan itu, pihaknya telah mengambil beberapa langkah perlu untuk mengatasi masalah tersebut termasuk meminta Sabah memberi sedikit peruntukan gula bagi memenuhi keperluan penduduk Labuan.
“Bagi merungkai permasalahan yang timbul satu sesi libat urus secara atas talian bersama pelbagai jabatan telah diadakan untuk mengatasi masalah bekalan gula berterusan.
“Antara yang terlibat katanya ialah Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara serta beberapa agensi kerajaan terbabit khusus dalam rantaian bekalan makanan dan barangan keperluan di sini” katanya.
Amirul berkata dalam sesi tersebut telah dijelaskan bahawa SOP berkaitan kemasukan barangan keperluan melalui jalan laut ke Labuan hendaklah tidak menjejaskan bekalan pasaran.
Selain itu tindakan susulan juga katanya, sedang dijalankan untuk memperoleh bekalan daripada pengilang melalui pelbagai syarikat pemborong.
“Pasaraya di sekitar Labuan telah dinasihatkan agar membuat kawalan kendiri bagi memastikan bekalan barang kawalan itu sentiasa berada dalam pasaran.
“Para pengguna juga dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik dan berbelanja secara berhemah sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 ini,” katanya.