Kanak-kanak Empat Tahun Maut Terjatuh Tingkat 29

Kanak-kanak Empat Tahun Maut Terjatuh Tingkat 29

KUALA LUMPUR, 16 Nov  — Seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati selepas terjatuh daripada kediamannya di tingkat 29 di sebuah kondominium di Jalan Ipoh petang ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata mayat kanak-kanak malang berusia empat tahun itu, ditemui oleh pekerja pengurusan kondominium berkenaan di tingkat lapan.

Beliau berkata pihaknya telah menerima maklumat daripada Mers 999 pada pukul 2.41 petang tadi berkenaan seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari tingkat 29 ke tingkat lapan, di sebuah kondominium di sini.

“Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci, kerana telah keluar untuk membeli barang.

“Bapa mangsa pulang ke rumah, mendapati anaknya tiada di dalam rumah dan kemudian meminta bantuan dari pihak pengurusan untuk mencari anaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata mangsa telah ditemui oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa.

Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi berada di tepi tingkap bilik berkenaan, yang tidak mempunyai jeriji.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Selayang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber: BERNAMA