SERAH…..Dr Joachim (tiga, kanan) menyerahkan watikah lantikan KAN, WKAN dan KK kepada penerima lantikan di Pejabat ADUN Kundasang, Ranau.
RANAU, 24 Januari 2021: Semua Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung (KK) di setiap daerah dalam negeri ini melaksanakan tugas dengan penuh amanah.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kewajipan dan amanah yang mereka pikul adalah memastikan hak dan kepentingan rakyat dibela.
“KAN, WKAN dan KK jangan hanya goyang kaki berada di pejabat dan menunggu laporan sahaja, berkhidmatlah dengan penuh integriti,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan watikah lantikan kepada penerima lantikan.
Bagi kawasan Kundasang, seramai 65 orang menerima watikah lantikan yang diadakan di Pejabat ADUN Kundasang.
Tegas beliau, pelantikan mereka bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya perlu memastikan komuniti setempat mendapat hak mereka selari dengan institusi perundangan hak dan adat istiadat berbilang kaum di negeri ini yang perlu dihormati dan diikuti semua lapisan rakyat.
Dr. Joachim juga mengingatkan pada pemimpin terbabit supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing tanpa mengira fahaman politik kerana lantikan ini terdiri dari himpunan fahaman politik yang berbeza, sentiasa peka dan adil, serta berpandangan jauh bagi mempastikan khidmat mereka berikan dapat menyakinkan semua rakyat.
“Kita haruslah bijak menjalankan tugas serta peka dengan terhadap isu-isu dalam komuniti dan adil dalam melaksanakan tugas, tidak berat sebelah atau pilih kasih, dan sudah pasti Ini akan memupuk keyakinan di kalangan masyarakat”.
Pada masa yang sama, di masa pandemik Covid-19 Ini, Dr. Joachim mengingatkan semua supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan ketika menjalankan tugas masing-masing serta berhati-hati memandangkan cuaca yang tidak menentu ketika ini.