26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 3, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kabinet Sabah Dibentuk Semula, 10 ADUN Angkat Sumpah

Tun Musa (kiri) dan Toh Puan Faridah mengaminkan bacaan doa.

KOTA KINABALU: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Kabinet Sabah dalam satu istiadat di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.

Mereka terdiri daripada tujuh ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan masing-masing seorang ADUN daripada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Upacara dimulakan dengan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang) yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I, diikuti Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun (ADUN Karanaan) sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

Manakala, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick (ADUN Kadamaian) kemudian mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri III dengan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Sesi seterusnya menyaksikan pelantikan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (ADUN Membakut) sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; Datuk James Ratib (ADUN Sugut) sebagai Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (ADUN Apas) sebagai Menteri Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.

Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Julita Majungki (ADUN Matunggong) sebagai Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat sementara Datuk Jamawi Ja’afar (ADUN Melalap) dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

Seorang lagi, Datuk Jafry Ariffin (ADUN Sukau – BN), turut melafaz sumpah sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Kesemua barisan Kabinet baharu itu kemudian menandatangani watikah pelantikan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin, dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN