JAMES (tengah) menerima canderhati disampaikan Haji Ahmad Syamsul sambil disaksikan Dr.Maria (kiri)
KOTA KINABALU: Perjawatan Penolong Pegawai Perubatan ini perlulah ditambah bagi membolehkan Hospital dan Klinik-Klinik Kesihatan seluruh Sabah beroperasi dengan sempurna, kata Menteri Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.
Jawatan ini, katanya, adalah begitu besar terutama sekali di pedalaman dan amat kritikal sekarang ini dan ini juga bagi mengoptimakan perkhidmatan kepakaran jantung di Pusat Jantung Sabah apabila ia beroperasi nanti.
Beliau yang juga EXCO Kesihatan Negeri Sabah menyokong penuh jumlah perjawatan Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Queen II ditingkatkan dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mempertimbangkan perkara ini dengan mengambil kira kepentingan hospital ini menjadi sebuah hospital utama di Sabah yang menjadi Pusat Jantung Sabah kelak.
Ini, katanya, seterusnya akan memberi kebaikan yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Sabah dalam menerima rawatan kepakaran jantung.
Penolong Pegawai Perubatan ini melakukan prosedur kepakaran yang kompleks antaranya seperti Transthorasic Echocardiogram (TTE), Exercise Stress test Echocardiogram, Pacemaker Interrogation, Advanced Haemodynamic Intracardiac Monitoring, Adjunctive Invasive Cardiovascular procedures dan Electrophysiological Studies (EPS).
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Program Derma Darah dan Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 yang diadakan di sini, Khamis.
Tambahnya, kerajaan telahpun meluluskan satu projek bangunan baru untuk Tabung Darah Sabah yang berjumlah lebih kurang RM86 juta di kawasan Bukit Padang dan dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini juga.
Dengan terbinanya bangunan itu nanti, James berkata, ia akan membekalkan lebi kurang 120,000 unit beg darah setahun, berbanding dengan jumlah ketika ini iaitu 2,600 setahun.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri Sabah, Ahmad Syamsul Bin Rezali berkata, program ini bertujuan untuk mengisi keperluan bekalan darah di hospital serta mengumpulkan jumlah beg darah yang maksima dalam satu-satu masa yang pendek.
Tambahnya, program turut dijalankan sebagai satu bentuk penghargaan kepada warga Penolong Pegawai Perubatan yang memainkan peranan penting dalam sistem perkhidmatan kesihatan negeri dan seterusnya menunjukkan betapa dekatnya warga Penolong Pegawai Perubatan bersama masyarakat.
Justeru, katanya, masyarakat Sabah digalakkan untuk terus menyokong program seumpama ini dan tampil sebagai penderma darah tetap bagi memastikan kelangsungan bekalan darah di negeri ini mencukupi.
Bersempena dengan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sabah, Bahagian Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama Persatuan Pembantu Perubatan Sabah telah menganjurkan Program Derma Darah yang diadakan di 16 lokasi berlainan di seluruh Sabah.
Program itu bermula pada 10 Mac 2025 yang lalu di Hospital Tawau dan perasmiannya pada hari ini di Hospital Queen Elizabeth II dan akan berakhir di Hospital Pitas pada 28 April 2025.
Ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara berkala dan juga dapat mengumpulkan jumlah beg darah yang maksima dalam tempoh yang pendek oleh Penolong Pegawai Perubatan Sabah.