29 C
Kota Kinabalu
Khamis, April 24, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

JUARA SUGANDOI PERINGKAT MUKIM NALAPAK DINOBATKAN KEPADA JIRAH

JUARA SUGANDOI PERINGKAT MUKIM NALAPAK DINOBATKAN KEPADA JIRAH

‘Juara’ Jirah (tengah), ‘Naib Johan’ May Maria dan Ketiga, Jelement

RANAU: Peserta tuan rumah Kampung Kebuh Baru yang mendendangkan lagu Bontugo Tadau Kaamatan, Jirah Lawrence, dinobatkan sebagai johan Sugandoi Peringkat Mukim Nalapak yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Kebuh Baru, semalam.

Jirah berjaya mengumpul markah sebanyak 95% menewaskan Naib Johan, May Maria Sigam yang mendapat markah 92%. Selain itu, Jirah turut memenangi dua anugerah lain iaitu Vokal Terbaik dan Bintang Harapan 2022. Dengan kemenangan itu, Jirah membawa pulang sebuah piala dan iringan serta wang tunai bernilai RM200.

Naib Johan, May Maria Sigam yang menyanyikan lagu Ginawoku Nosindualan mewakili Sabah Tea, memenangi sebuah piala dan wang tunai RM150 manakala Tempat Ketiga dimenangi oleh Jelement Yusof dengan lagunya Noromuk Lugu Piginawaan mewakili Kampung Luanti juga memenangi sebuah piala, iringan dan wang tunai bernilai RM100. Jelement turut dinobatkan sebagai peserta Paling Popular menewaskan 8 peserta lain dengan jumlah undi 168.

Persembahan terbaik dimenangi oleh peserta mewakili Kampung Muruk, Jalumin Dius. Jalumin menyanyikan lagu Langad Molohing yang dipopularkan oleh Ramin Masidin.

Peserta lain yang turut menerima saguhati berbentuk trofi dan wang tunai RM50 ialah Laura Yomou mewakili Kampung Nalapak yang menyanyikan lagu Ginawoku Kagasan, Suison Empin (Kampung Sagindai Baru / Langad Molohing), Marini Saidi (Kampung Kebuh Baru / Hosoko Sinduo Ginavo), Fera Lawrence (Kampung Kebuh Baru / Tataba) dan Jeneriah Juring (Kampung Nabutan / Tataba).

Juis Konsuling menyampaikan hadiah kepada juara sugandoi, Jirah Lawrence

Para pengadil yang mengadili pertandingan ialah Jaipin Kimburon yang bertindak sebagai Ketua Pengadil, Muhd. Razwan Garidi dan Rusnita Sarinin.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian STAR Paginatan, Juis Konsuling dan Penyelia Kemajuan Masyarakat Paginatan, Sainin Hamid.

Turut hadir ialah Pemaju Mukim Nalapak, Helary Salmon dan Pemaju Masyarakat, Faizul Jamita.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Sainin Hamid memuji Pengerusi Penganjur Sugandoi, Jefrey Yomou dan Pengerusi JPKK Kampung Kebuh Baru, Nurjana Abas serta AJK Pelaksana kerana berjaya menganjurkan pertandingan sugandoi peringkat Mukim Nalapak.

“Pertandingan sugandoi adalah antara acara wajib sebagai pengisian setiap sambutan perayaan kaamatan. Ia bukan sahaja dapat mencungkil bakat suara para peserta tetapi juga dapat merapatkan lagi ikatan perpaduan berbagai kaum. Tanpa kerjasama yang baik di kalangan AJK Pelaksana sudah pasti majlis seperti ini tidak akan berjaya. Saya melihat suasana pertandingan malam ini begitu meriah dan berjaya sekali, syabas dan tahniah,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN